November 2, 2010

Cendol

Hahahahahha....lama sudah tak update blog ni.

Cendol ni di buat masa Hariraya AidilFitri 2010. Dah lama kan? Sekarang rasa macam sibuk sikit sebab sudah mula belajar Bahasa Arab. Seronok juga belajar bersama kawan-kawan dari negara lain. Tenaga pengajar adalah dari rakyat tempatan.

Bahan-bahan :
- 2 cawan tepung beras
- 1 cawan tepung ubi
- 1 cawan air pandan ( 10 helai daun pandan yang dikisar)
- 2 sudu air kapur
- 1 liter air

Cara membuat :

Satukan tepung beras dan tepung ubi. Masukkan air kapur. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Kacau hingga rata dan tak berketul. Setelah selesai, says tapis dan masukkan ke dalam periuk. Masak diatas api yang sederhana dan sentiasa mengacau sehingga tepung pekat dan berkilat. Sekiranya terlalu pekat boleh tambah sedikit air supaya tepung tidak berketul, sementara itu sediakan acuan cendol dan sebekas air sejuk. Setelah masak tekan di dalam acuan cendol yang sudah tersedia dengan air sejuk.

August 14, 2010

Sambal Udang dengan Petai

Masakan kegemaran anak perempuan saya adalah udang. Maka saya ni memang suka masak udang tetapi kami kurang suka dengan udang (kolesterol tinggi) jadinya saya campurkan petai supaya masakan yang disediakan boleh dimakan bersama. Saya juga tak perlu menyediakan juadah lain.

Bahan-bahan :

1 kg udang yang sederhana besar (dibuang kulit)
20 tangkai cili kering
10 ulas bawang merah (kecil)
5 ulas bawang putih
1/2 inci halia
2 biji bawang besar (dihiris)
6 papan petai (dibuang kulit)
1 biji tomato (dihiris)
2 sudu asam jawa Adabi
garam secukup rasa
1 cawan minyak masak

Cara membuat :
Cili kering, bawang kecil, bawang putih dan halia dikisar. Panaskan minyak dalam kuali kemudian masukkan bawang besar yang telah dihiris tadi. Bila dah naik bau dan layu, masukkan bahan2 yang telah dikisar. Tumis sehingga cili masak dan masukkan tomato. Masak sampai tomato lembut kemudian masukkan udang dan petai.

Kacau dan biarkan sebentar sehingga udang masak. Bubuh asam jawa, garam dan gula. Kacau supaya rasanya sekata dan biarkan sampai naik minyak. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

Murtabak


Murtabak di Dubai???? Memang tak akan jumpa. Jadi saya terpaksa buat murtabak sendiri.

Kuih Keria

Kuih ni memang menjadi kegemaran keluarga saya. Tetapi nak buat kuih ni rasanya leceh sebab tak boleh terus makan. Prosesnya amatlah panjang sebelum boleh dimakan.

Bahan-bahan :

- 2kg keledek
- 400g tepung gandum
- 1 cawan gula
- 1 cawan air
- minyak untuk menggoreng

Proses yang pertama, keledek direbus sehingga empuk. Apabila sudah empuk, toskan dan lenyek sehingga hancur kesemuanya. Biarkan sejuk seketika, kemudian baru masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul rata. Pastikan tidak terlalu keras adunannya dan juga tidak terlalu lembut. Biarkan adunan tadi betul2 sejuk baru dibentukkan bulat seperti donut. Bila selesai baru digoreng.

Proses yang kedua, panaskan air diatas kuali lain dan masukkan gula. Biar gula memggelegak dan berbuih. Pastikan gula sentiasa dikacau dan gula tadi berbuih serta ringan bila dikacau bolehlah masukkan kuih keria yang telah digoreng. Teruskan mengacau sehingga gula menjadi kering dan melekit pada kuih. Bila gula telah rata pada semua kuih bolehlah diangkat dan sedia untuk dihidangkan.

Kerabu Mangga

Lama betul tak update blog ni...alhamdulillah sekarang dah boleh mengadap blog ni.

Bahan-bahan

- 2 biji mangga muda yang sederhana besar ( dibuang kulit dan hiris halus-halus)
- 2 biji bawang besar (belah dua dan dihiris nipis)
- 20 biji cili api (ditumbuk halus)
- 100g kacang tanah (digoreng dengan sedikit minyak dan ditumbuk)
- 100g ikan bilis (digoreng yang ditumbuk)
- 1/2 cawan sos ikan
- garam secukup rasa
- 1 tangkai bunga kantan ( dihiris nipis)

Mangga muda dibuang kulitnya dan di bersihkan dahulu sebelum diracik. Bawang besar dan bunga kantan yang telah dihiriskan dicampurkan kedalam mangga muda dan gaul. Saya akan panaskan cili api diatas kuali sebelum ditumbuk, supaya tidak pedas. Semua bahan-bahan yang ditumbuk tadi akan dicampurkan kedalam mangga muda dan gaul hingga rata. Kemudian tuangkan sos ikan sedikit demi sedikit mengikut selera masing-masing. Akhir sekali baru masukkan garam kerana dikhuatiri terlalu masin nanti, sos ikan pun sudah sedia masin.



August 11, 2010

Sambal Tumis Ikan Bilis dengan Petai




Alahai....gambar ni tak menarik betul. Hari masak sambal kegemaran suami saya. Tambahan pula nanti nak puasa...jadi sambal ini akan jadi pembuka seleralah. Resepi sambal ni saya ambil dari Eka, Kota Kemuning. Kalau dia masak sambal macam ni sangatlah pedas, memang tak tahan. Tetapi pedasnya sedap maka teruskanlah.

Bahan-bahannya :

200g Ikan bilis (dibelah dua)
4 biji bawang besar
6 biji bawang kecil
3 ulas bawang putih
4 biji cili hijau
3 biji cili merah
15 biji cili api
1 biji tomato
100g petai
minyak untuk menggoreng
garam secukup rasa
1 sudu kecil asam jawa

Muffin Pisang

Musim cuti sekolah ni....anak-anak suruh buat kuih sebagai aktiviti untuk memenuhi masa lapang. Semalam saya dah buat Muffin Blueberry, hari ni saya nak buat Muffin Pisang. Ini pun resepinya saya ambil dari Kak Ummi Home Sweet Home tetapi saya kurangkan jumlah gula yang beliau gunakan. Kalau Muffin Pisang ini manis sangat nanti, tak termakan pulak. Resepi Kak Ummi ni memang simple dan dijamin jadi dan sedap. Dalam Resepi Kak Ummi namakan Marble Banana Muffin...sebab diselang-seli dengan adunan bercoklat. Saya hanya tambah coklat chip untuk hiasan saja.

Bahan-bahan :
A. 2 cawan tepung gandum
3/4 cawan gula kastor
1 sudu besar baking powder
1/2 sudu kecil garam

B. 1 biji telur
1/2 cawan minyak masak (saya guna minyak Mazola)
1 cawan susu segar (full cream milk)

C. 2 biji pisang yang dilenyek

Cara-cara membuat :

Ayak tepung bersama baking powder dan satukan semua bahan A dalam satu bekas. Kemudian pukul telur dan campurkan dengan minyak dan susu. Tuangkan bahan A tadi kedalam bahan B dan gaul hingga sebati. Tambahkan pisang yang telah dilenyek. Jangan gaul lama-lama, cukuplah sehingga bahan-bahan tadi bercampur dan menjadi rata.

Sementara kita menyiapkan bahan-bahan tadi, panaskan oven terlebih dahulu pada suhu 190*C. Bakar muffin tadi selama 20 minit.



August 10, 2010

Roti Canai


Baru-baru ni masa balik ke Kuala Lumpur, saya telah bertemu dengan mak saudara sebelah suami. Rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, hampir satu jam mencari rumahnya padahal kawasan tersebut sudah pun kami lintas beberapa kali. Rumah mak Cik Pora, kalau nak pergi sekali lagi ...dah tau dah. Sampai saja di rumahnya kami di jamu dengan Laksa Utara. Saya ni kurang suka laksa utara tapi Kuih Apam tepung berasnya memang sedap. Sambil bersembang tu Mak Cik Pora pun bercerita tentang Roti Canai. Dia menceritakan bahawa dia dahulunya membuat roti canai untuk dijual. Lalu dia memberikan resepi Roti Canai kegemaran pelanggannya. Mengikut Mak Cik Pora kalau nak makan roti canai ini cepat, tambahlah mentega kalau tidak, mentega tak diperlukan. Tapi, mulanya saya ubah sikitlah resepinya, saya tambah sebiji telur kerana Pn Azizah Bahari(isteri Chef Mohamad Ali Kunhi)menasihatkan supaya tambah telur, tepungnya akan lebih lembut nanti. Saya dah cuba, memang lembut. Masalahnya, bila kita guna telur, tepung yang ditebar mudah koyak sebab terlalu lembut.

Bahan-bahan :

600g tepung gandum
3 sudu besar susu pekat manis
1 sudu besar mentega
500ml air
1 sudu kecil garam

Cara membuat :

Campurkan semua bahan dalam satu bekas. Gaulkan sehingga bahan-bahan tadi rata. Tuangkan air sedikit demi sedikit dan gaulkan. Gaul sehingga bahan-bahan tadi sebati dan menjadi doh yang lembut, tidak perlu diuli lagi. Biarkan doh tadi selama 10 minit dan tutup dengan kain. Kemudian baru diuli selama 5 minit dan biarkan lagi selama 10 minit. Ulang proses ini sebanyak 3 kali. Setelah selesai diuli, bulatkan doh tadi seberat 150g (lebih kurang sebesar penumbuklah). Bila selesai proses tersebut saya tuangkan minyak masak dalam bekas tepung roti canai tadi dan saya tutup dengan plastik. Kemudian saya simpan semalaman.

Esoknya baru saya tebar tepung tadi untuk membuat roti canai. Anak-anak ada yang order roti telur, roti sardin dan roti pisang. Selebihnya saya buat roti canai bulat (cara yang mak ajar saya masa kecil2 dulu). Roti-roti ini saya masak sedikit dan kemudian saya pek dalam plastik. Simpan dalam freezer untuk anak-anak buat breakfast nanti.

August 4, 2010

Kacang Panjang goreng bercili

Ramadhan sudah hampir. Saya harus bersedia dengan menu-menu yang bersesuaian dengan selera ahli keluarga yang berpuasa. Selalunya kalau bulan Ramadhan, mereka kurang berselera dengan masakan yang berkuah. Selalunya menu yang menjadi kegemaran hanyalah yang bergoreng dengan cili. Kacang panjang goreng brcili ini adalah antara masakan kegemaran ahli keluarga.


Bahan-bahan yang diperlukan :

- 500g kacang panjang
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 5 biji cili merah
- 2 biji telur
- Minyak secukupnya untuk menumis

Cara membuatnya :

Kacang panjang dipatah-patahkan (2 inci) sahaja. Saya suka kalau kacang panjang yang besar dan mengerutu serta bengkang-bengkok kerana kacang jenis ini adalah lebih rangup. Kacang ini selalu ada dijual di pasar malam. Kalau tak ada, kacang panjang yang biasa pun boleh juga tetapi saya akan pilih yang rangup.

Bawang merah, bawang putih dan cili merah ditumbuk dan tidak perlu sampai lumat. Panaskan minyak dalam kuali pada api yang sederhana besar. Tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk tadi sehingga naik bau wanginya kemudian masukkan telur dan goreng sebentar lagi. Masukkan kacang panjang dan kacau sehingga bahan tumisan tadi bercampur dengan kacang. Tambahkan sedikit garam mengikut rasa. Sekiranya kacang sudah empuk terus diangkat dan sedia untuk dimakan.

July 13, 2010

Egg Tart

Bahan-bahan :

Untuk pengetahuan semua, pastri untuk Egg Tart ni saya belum pandai buat lagi. Saya beli jer kat sini. Tapi saya adalah belajar dari mak saudara sebelah suami (Mak Chak). Bahan-bahannya senang saja, iaitu :

Quaker oat segera, tepung jagung, brown sugar dan butter. Nanti saya cuba semula ya.

3 biji telur
3 biji telur kuning
75 g gula pasir
2 sudu teh vanilla powder (kadang-kadang saya bubuh lebih sedikit, lagi sedap rasanya)
350 ml single cream
150 susu

Cara membuat :

Pukul telur, gula dan vanilla sehingga kembang. Pada masa yang sama campurkan single cream dan susu kedalam periuk dan panaskan pada api sederhana. Jangan sampai mendidih. Kemudian masukkan telur yang telah dipukul tadi. Panaskan sebentar sehingga menjadi likat. Tuangkan adunan tersebut keatas pastri dan bakar didalam oven pada suhu 200*C selama 20 minit. Egg tart sedia utk dimakan.

April 27, 2010

Roti John





Teringat masa di Puchong. Roti John....resepi saya yang tersendiri. Semua anak-anak jagaan saya suka pada Roti John. Bila sampai disini, permintaan pada roti john ini tidak berapa menggalakkan lagi pun penyediaannya susah sedikit maka saya pun tidak membuat Roti John lagi. Tetapi baru-baru ini apabila anak sulong saya berkata, "Kalau ada program seperti Hari Kantin lagi, dia nak jual Roti John lah". Oh ya baru saya teringat pasal roti ini. Oleh kerana terlalu lama, resepi pun dah terlupa. Mujur ada buku resepi Pn Hardiza Dato' Daud dala simpanan saya. Dulu Puan Hardiza pernah meminta resepi Roti John dari saya. Ia sangat membantu.

bahan-bahan inti :

- 200g isi ayam
- 3 ulas bawang putih (dihiris dan cincang)
- 1 cm halia (dihiris dan cincang)
- 3 tangkai daun ketumbar
- 100g kobis bulat (dihiris memanjang)
- 1 batang karot sederhana besar (dihiris memanjang dan halus)
- minyak untuk menumis
- garam secukup rasa
- 1 sudu kecil serbuk lada hitam

cara menbuat :

Isi ayam harus dicuci dan dicincang halus (saiz ikut sukalah). Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bawang putih dan halia. Tumis sampai naik baunya dan apabila warna bertukar kekuningan, bolehlah masukkan ayam. Kacau supaya rata dan biarkan sebentar. Kemudian, masukkan garam dan serbuk lada hitam. Kacau lagi sehingga ayam tadi masak dan masukkan kobis dan karot. Kacau supaya bahan tumisan tadi bercampur dengan sayur. Apabila sayur sudah masak bolehlah padamkan api. Taburkan daun ketumbar dan bahan tadi sedia untuk dimakan.

Selain membuat Roti John, inti ini juga saya gunakan untuk membuat Tortilla Wraps atau buat Popia Goreng. Kalau dulu saya buat Pocket Doraemon pun gunakan inti ayam juga.

untuk membuat Roti John:

- 1 biji telur
- roti sausage
- marjerin

Pecahkan telur dan campurkan sesudu inti ayam tadi. Kemudian pukul sedikit supaya rata. Roti sausage di belah dua dah disapu majerin. Panaskan kuali leper dan tuangkan campuran telur tadi diatas kuali. Letakkan roti yang telah dibelah tadi dan biarkan telur melekat pada roti. Pastikan telur tadi masak dan terbalikkan roti.

Sapukan mayonis dan sos cili pada roti . Roti John boleh dihiaskan dengan timun dan salad. Kalau suka boleh tambah tomato juga.

April 21, 2010

Kuih Pau Kaya Pandan


Ini adalah percubaan pertama saya buat Kaya Pandan. Selama ini saya hanya gunakan Kaya Madu keluaran Agro Mas. Saya akan gunakan kaya madu ini untuk membuat roti boom atau 'crepes' pisang dengan kaya. Tetapi kali ini suami teringin nak makan Pau Kaya. Kalau saya gunakan Kaya Madu Agro Mas ni tak sesuai sebab terlalu cair. Saya pun buat kaya pandan sendiri berpandukan resepi kawan-kawan dan saya ubah suai sedikit. Saya pun tak pasti samada hasilnya sama atau tidak dengan kawan-kawan yang lain. Tetapi Kaya Pandan saya tadi sangat sesuai jika nak buat pau inti kaya.

bahan-bahan untuk kaya pandan (untuk panduan saya):

- 4 biji telur ayam
- 1 cawan gula pasir
- 2 cawan santan pekat
- 1 cawan air pandan ( 6 helai daun pandan yang dikisar dan ditapis)

Campurkan semua bahan dan masak diatas api yang sederhana. Kacau tanpa berhenti sehingga menjadi pekat.

bahan-bahan untuk pau:

- 1 kg tepung gandum
- 11g yis kering mauripan
- 1/2 cawan gula
- 1 sudu teh garam
- 3 sudu marjerin
- daun pisang (dipotong 4 segi 2 in x 2 in)
- air secukupnya

Gaulkan tepung dan yis sehingga rata. Campurkan gula dan garam. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli tepung sehingga menjadi doh. Apabila doh sudah cukup lembut, ambil sedikit sebesar bola pingpong dan leperkan di atas tapak tangan. Letakkan sesudu kecil inti kaya dan cantumkan semula tepung tadi supaya menjadi bulat. Letakkan di atas kertas atau daun pisang yang sudah digunting tadi. Ulang proses yang sama sehingga selesai. Biarkan sebentar sehingga adunan tadi kembang.

Sementara itu boleh sediakan pengukus pada api yang sederhana besar. Apabila adunan tadi sudah kembang bolehlah dikukus. Saya selalunya akan letakkan kain cotton diatas pengukus sebelum ditutup supaya air dari wap itu tidak jatuh pada kuih pau.

Cucur Ubi Kayu

Sebenarnya kuih-kuih macam ni adalah kegemaran anak-anak saya. Saya tak tahu macamana mereka boleh suka kuih ini kerana saya tak pandai membuat kuih berasaskan ubi kayu. Sekarang, saya pun suka membuat kuih ini. Lagipun penyediaannya sangat mudah dan cepat.

bahan-bahannya :

- 500g ubi kayu
- 1 1/2 cawan gula merah
- 1/2 cawan gula pasir
- 1 cawan kelapa parut (putih sahaja)
- 1/2 cawan santan (nak bubuh air pun boleh)
- garam secukup rasa
- minyak untuk menggoreng

cara membuat :
Ubi kayu yang telah dibuang kulit dan dibersihkan tadi hendaklah diparut terlebih dahulu. Kemudian ditapis dengan kain cotton untuk membuang sagunya. Kalau tidak dibuang sagunya nanti cucurnya akan liat sedikit. Setelah selesai, gaulkan semua bahan sehingga rata. Selalunya saya akan biarkan adunan tadi beberapa minit sebelum digoreng. Tujuannya supaya bahan-bahan tadi akan sebati dan rasanya akan lebih sedap. Kemudian baru digoreng dan terus dihidang. Sungguh sedap.

March 30, 2010

Kuih Sago




Kuih Sago ini adalah kuih kegemaran sejak dari kecil tetapi susah nak jumpa kuih ini yang bertepatan dengan selera saya. Selalunya kalau saya beli kuih ini, mesti ada sahaja rasa yang tidak memuaskan hati. Akhirnya, semasa saya balik Kuala Lumpur masa cuti musim panas 2009 yang lalu saya telah belajar dari kakak saya. Dia memang pandai membuat kuih tradisional melayu. Sejak dari tarikh itu saya telah pun beberapa kali membuat kuih sago ini di Dubai tetapi sagonya saya beli di Tesco Kuala Lumpur. Sago ada dijual di Geant Dubai tapi tak sama seperti yang dijual di Malaysia. Kuih Sago ini saya buat mengikut selera saya.

Bahan-bahannya :

- 200g sago (sago mata ikan)
- 1 biji kelapa parut putih sahaja(dibahagi 2 bahagian)
- 150g gula merah
- garam secukupnya
- daun pisang untuk membungkus

Cara membuatnya :

Sago tadi hendaklah dibasuh terlebih dahulu dan toskan. Campurkan 1 bahagian kelapa kedalam sago dan gaul sehingga rata. Tambahkan sedikit garam. Tambahkan sedikit garam kedalam satu lagi bahagian kelapa dan gaul hingga rata. Daun pisang yang sudah dibersihkan hendaklah dilayur diatas api dan dipotong mengikut saiz yang sesuai. Ambil sehelai daun pisang dan lipat seperti bentuk 3 segi atau bentuk kon.

Mula-mula masukkan satu sudu sago kemudian letakkan satu sudu kecil gula merah dan kelapa parut. Selepas itu letakkan satu sudu sago pada lapisan yang terakhir. Bungkus kuih tadi dengan melipatkan daun pisang supaya menjadi bentuk seperti pyramid. Ulang proses yang sama sehingga habis sago. Kukus sehingga masak ( tidak kurang dari 30 minit)dan sedia untuk dihidangkan kepada keluarga.

March 26, 2010

Karipap Sardin

Masa mula-mula sampai Dubai dulu, inti karipap ni kami order dari Malaysia. Maklumlah saya ni bukan pandai sangat bab masak ni. Ini adalah percubaan pertama saya masak inti sardin. Rasa-rasanya lepas ni tak perlu order inti sardin dari Kg Sri Gombak Indah lagi, dah boleh buat sendiri. Tetapi sardinnya tetap kena beli dari Malaysia juga.

Bahan-bahan untuk inti:

- 1 tin besar sardin ( saya suka cap Ayam)
- 5 biji bawang besar (sederhana besar)
- 10 ulas bawang merah (hiris nipis)
- 3 ulas bawang putih (cincang)
- 1 cawan cili kering yang telah dikisar (boleh tambah kalau suka pedas)
- 3 keping asam keping
- garam secukupnya
- 1 senduk minyak untuk menumis

cara membuat :

Panaskan minyak dalam kuali. tumiskan bawang merah dan bawang putih sehingga naik baunya. Kemudian masukkan setengah dari bawang besar yang telah dihiris tadi. Tumis hingga bawang layu. Kemudian masukkan cili kisar dan tumis sampai masak. Bila dah naik minyak masukkan baki bawang hiris tadi dan kacau. Bila dah sebati masukkan ikan sardin bersama dengan sosnya sekali. Kacau sambil kita hancurkan ikan sardin tersebut dalam kuali. Kita juga boleh hancurkan ikan sardin dahulu sebelum dimasukkan kedalam kuali. Masukkan asam keping dan masak hingga kering. Biarkan sejuk sebelum digunakan.

Saya juga gunakan inti sardin untuk membuat Roti Goreng. Sedap untuk dibuat minum petang.

March 25, 2010

Kuih Cucur Badak



Selera ni macam-macam lah. Dulu-dulu tak teringin pun nak makan kuih ni. Bila dah sampai sini baru ada rasa nakan makan Kuih Cucur Badak. Saya memang tak pernah buat kuih ni. Akhirnya, cuba lah sendiri. Kalau inti ni jadi maka kuihnya pasti sedap. Alhamdulillah.....dan sangat sedap.

Bahan-bahan untuk inti :

- 1 biji kelapa parut (ambil putih sahaja)
- 4 batang serai (dihiris)
- 1 inci kunyit hidup (lebih kurang sebesar ibu jari kaki)
- 10 ulas bawang putih
- 3 ulas bawang putih
- 1 cawan udang geragau ( tak ada udang kering)
- 3 sudu besar minyak utk menumis
- 4 biji cili merah dan 5 biji cili padi ( try je...)

Bahan-bahan untuk kulit:

- 1kg ubi keledek (buang kulit dahulu)
- 1 cawan tepung
- minyak masak untuk menggoreng

Bawang merah dan bawang putih dikisar dahulu. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang sehingga naik baunya. Sementara itu kisar serai, kunyit hidup, cili dan udang geragau dengan secawan air. Bila bawang tadi sudah kekuningan, masukkan bahan kisar yang kedua tadi dan kacau sehingga sebati. Kemudian masukkan kelapa (kalau suka boleh kisar dahulu kelapa tersebut). Saya masukkan terus kelapa yang diparut tadi tanpa kisar terlebih dahulu. Masak pada api yang sederhana sehingga airnya kering. Biarkan sebentar sehingga sejuk.

Sambil memasak inti kita boleh lah merebus ubi keledek dan tambah sedikit garam. Apabila dah masak (lembut) boleh angkat dan lenyek sehingga hancur. Tambah tepung sedikit demi sedikit dan gaul sampai sebati. Apabila sudah menjadi doh(pastikan doh tidak terlalu lembut dan tidak juga keras), ambil doh tersebut sebesar bola pingpong dan leperkan dengan jadi jari dan tapak tangan(boleh sapukan minyak pada tapak tangan supaya doh tidak melekat). Masukkan satu sudu inti dan cantumkan semula. Ulang proses sehingga habis doh tadi. Apabila selesai proses mengisi inti, kuih tadi boleh digoreng dalam minyak yang banyak. Goreng sehingga warna kuih menjadi kekuningan. Sedia untuk dihidang.

March 24, 2010

Roti Ayaq Hangat


Saya mula mengenali makan ini pada tahun 1991. Sejak saya berkahwin dengan orang yang berasal dari Seberang Perai Utara ni. Sekarang Roti Ayaq Hangat ni sudah menjadi makanan kegemaran kami sekeluarga. Setelah hampir 19 tahun menguli roti ini, saya pun dah pandai sekarang. Senang saja nak buat roti ini.

Bahan-bahannya :
- 500g tepung gandum
- 2 sudu besar gula
- 1 sudu teh garam
- 500ml air panas
- minyak sapi secukupnya

Cara membuatnya :

Tepung digaul rata bersama garam dan gula. Tuang air panas (mendidih) ke atas tepung sedikit demi sedikit dan dikacau dengan senduk kayu. Tambah air panas sekiranya perlu sehingga tepung sebati dan boleh diuli ( seperti adunan membuat kuih tart). Adunan tadi jangan terlalu lembut dan tidak juga keras. Sesuai untuk digelek dengan penggelek seperti membuat capati. Selesai menguli adunan, ambil adunan sebesar bola pingpong dan bulatkan dengan tangan yang sudah disapu minyak sapi. Tujuannya supaya adunan tidak melekat apabila digelek dan semasa menggoreng nanti tidak perlu gunakan minyak.

Setelah siap menggelek, adunan tadi diletakkan di dalam kuali leper dan dimasak diatas api yang sederhana. Apabila adunan telah masak kuatkan api pada maksimum dan ambil sedikit minyak sapi disapukan pada roti tadi. Goreng dan balikkan roti tersebut hingga kulit roti kelihatan kekuningan. Goreng roti mengikut kesukaan seperti kalau mahu yang garing boleh goreng lama sedikit. Angkat roti dari kuali dan sedia untuk dimakan.

Roti Ayaq Hangat sangat sesuai dimakan dengan kari ikan. Bagi kami sekeluarga suka makan roti ini bersama susu pekat manis atau kaya madu. Sangat sedap dan sesuai untuk sarapan dipagi minggu atau minum petang.

Mee Soba and Tempura

Hari ni saya cuti memasak sebab anak sulong saya tak sekolah. Hari ni tak ada exam so dia telah merancang untuk menyediakan makan tengahari untuk kami semua.

Dia telah pergi ke kedai untuk membeli bahan-bahan yang dia nak masak. Dia sendiri memilih dan membersihkan bahan-bahan tersebut. Dia memang suka masak- memasak ni dan memang sudah menjadi kesukaannya berada didapur.

Tepat jam 3 petang semua menu sudah terhidang di meja. Hidangan makan tengahari ini ialah Mee Soba, Miso Sup dan Tempura Udang.

Alhamdulillah...semua orang memuji masakannya. So resepi adalah hak milik terpelihara dan tidak boleh disiarkan disini.

March 15, 2010

Resepi Lepat Ubi









bahan-bahan :

- 1kg ubi kayu ( dibuang kulit dan diparut)
- 1 cawan kelapa parut
- 1 cawan santan pekat
- 1 cawan gula merah
- 1/2 cawan gula pasir ( boleh tambah kalau suka)
- 1 sudu teh garam
- daun pisang secukupnya (daun pisang harus dilayur diatas api supaya lembut dan dipotong)

cara mebuatnya :

Ubi kayu yang sudah diparut tadi hendaklah ditapis dengan kain untuk membuang sagunya. Kemudian campurkan parutan kelapa tadi dan gaulkan hingga rata. Masukkan gula dan garam dan gaul hungga sebati. Akhir sekali masukan santan kelapa sedikit demi sedikit dan kacau. Pastikan adunan tidak terlalu cair. (Kecairannya bergantung kepad jumlah gula, kalau ada tambahan mungkin perlu dikurangkan santan). Apabila sudah siap adunan, sendukkan dua sudu ke atas daun pisang dan lipat dengan rapi. Ulang proses melipat sehingga adunan habis.

Setelah selesai susun lepat tadi di dalam pemgukus dan kukus selama 30 minit pada api yang kuat. Biarkan sejuk dan sedia untuk dimakan.

March 8, 2010

Lasagna


Ingredients :

- 2 tablespoon cooking oil
- 2 large onion (chopped finely)
- 1 tablespoon ginger
- 1 tablespoon garlic
- 1 kg minced beef
- 2 x 410g tomato puree
- 2 tablespoon tomato paste
- 2 tablespoon chopped fresh flat-leaf parsley
- 250g lasagna sheets
- 200g grated mozzarella cheese
-.200g grated carrot
- 200g button mushroom (thinly sliced)
- 1 cup beef stock

white sauce :
- 125g butter
- 1/3 cup plain flour
- 5 cups milk
- 1 cup cooking cream

Preparation :

Heat oil in a large pot, add onion, ginger and garlic. Stirring until fragrant. Add beef and cook until the meat just changes colour. Add the beef stock. Cook at a medium heat for 1/2 hour. Add the tomato puree and tomato paste. Stirring for 5 minutes. Add carrot and mushroom. Cook until the vegetables soften. Remove from heat and stir in parsley.

Meanwhile, make the white sauce. Melt butter in medium saucepan. Mix the flour with the cooking cream and stir well. Pour the mixture into the hot saucepan and stir until mixture forms a smooth paste. Gradually, stir in milk and bring o boil. Stirring until sauce thickens.

Preheat oven to moderately hot (200*C/180*C fan-forced). Grease deep 26cm x 35cm baking dish. Spread about 1/2 cup of white sauce over base of dish. Layer two lasagna sheets, 1 cup of bolognese sauce, 50g of the cheese and 1 cup of remaining white sauce in dish. Repeat layering process starting with lasagna sheets and ending with white sauce. Top lasagna with remaining cheese.

Bake for about 40 minutes or until top is browned lightly. Stand 15 minutes before cutting.





Sizzling Mee

Hari ni saya tak berapa sihat. Demam selsema dari hari Jumaat. Macam-macam menu yang difikirkan untuk juadah makanan tengahari. Apabila sampai waktunya, saya ambil menu yang paling mudah. Inilah hasilnya...

bahan-bahannya:

- 3 ketul mee wantan
- 200g dada ayam (dihiris nipis2 secara memanjang)
- 5 ulas bawang putih(diketuk)
- 1 inci halia (dihiris nipis)
- 3 tangkai cili kering (dipotong-potong)
- karot (dipotong halus dan memanjang)
- 200g brocolli
- 200g bunga kobis
- 200 cendawan
- 3 sudu minyak masak
- 3 sudu besar sos tiram
- 3 sudu besar kicap pekat
- 2 sudu besar kicap cair
- 1 sudu teh dicampur dengan 1/2 cawan air
- serbuk lada hitam dan lada putih secukupnya

Cara membuatnya:

Tumis bawang putih, halia dan cili kering sehingga naik baunya. Masukkan ayam dan kacau hingga ayam itu masak. Tambahkan serbuk lada hitam dan lada putih. Biarkan sebentar. Masukkan kicap pekat, sos tiram dan kicap cair. Letakkan air dan kacau. Masukkan mee wantan dan sayur. Apabila mee telah lembut, masukkan tepung yang telah dibancuh dengan air. Apabila kuahnya telah pekat, mee boleh diangkat. Sedia untuk dihidang


March 3, 2010

Mutton Curry

Ingredients :

- 1 kg mutton ( cut into medium size)
- 1/2 kg potatoes (peeled and cut into 4 pieces)
- 2 large onions (sliced)
- 1 tablespoon garlic (sliced)
- 1 tablespoon ginger (sliced)
- 1 inch cinnamon sticks
- 5 pieces cardamom
- 1 piece star anise
- 2 cups thin coconut milk
- 2 cups thick coconut milk
- 3 medium size tomatoes (sliced)
- 3 tablespoon coriander leaves (chopped)
- 3 tablespoon curry powder (mixed with 1 cup of water)
- 1/3 cup cooking oil
- 1 teaspoon salt
Preparation

Heat the oil in a medium pot and add cinnamon stick, cardamom and star anise. When they start crackling, add ginger, onion and garlic. Fry until light brown and add the curry powder. Cook on a medium heat until all combine to form a dry paste. Add the tomatoes and cooked for 3 minutes. Then add the mutton and mix well. Cooked again on a medium heat until it tender.
Add the potatoes and thick coconut. Cooked again for 10 minutes. Stir well. Add the thin coconut milk and salt. Cooked until boil and garnish with coriander leaves. Cover the pot and after 20 seconds the mutton curry is ready to be served.

March 2, 2010

Sushi


Menu hari ini.


1. Salmon nigri




2. California handrolls


March 1, 2010

Cinta dulu cinta sekarang



cinta dulu-dulu cinta malu-malu
cinta dulu-dulu memang susah nak bertemu
bila sudah dapat bertemu
nak cakap apa pun tak tahu
tegak berdiri tersipu-sipu
seram sejuk kaku membisu
sejak kecil sudah diasuh
pantang larang dipegang teguh
mulia sungguh cinta dulu
adat resam budaya melayu

cinta zaman sekarang sudah terlupa pantang larang
cinta zaman sekarang dikhalayak ramai dia pegang-pegang
kalau ditegur dia meradang
macam harimau nak menerkam
maruah bangsa sudah terancam
kerana perbuatan segelintir orang
hidup penuh berpoya-poya
kalau kahwin pun tak kekal lama
bila dah dapat yang diidam
habis manis sepah dibuang

cinta dulu-dulu
ikut nasihat ayah dan ibu
cinta dulu-dulu
kalau nak kahwin bertanyalah dulu
merisik-risik bertanya-tanya
ayah dan ibu dan anak siapa
bila sudah berumahtangga
kekal hingga sampai ke tua
cinta dulu cinta mulia
ikut peraturan budaya bangsa
hidup mereka sungguh bahagia
cangkul dan tanah memisahkannya

Resepi Kuih Buah Melaka

Niat asal saya tadi nak buat inti kerana ada kawan order Kuih koci Pulut Hitam dan Kuih Ketayap untuk lunch hari Jumaat ni. Saya pun sediakan 3 biji kelapa untuk diparut dan saya dapati kelapa parut itu banyak sangat. Saya pun ambil sedikit kelapa parut nak makan bersama putu mayam. Saya batalkan niat itu tukar kepada Kuih Buah Melaka sebabnya nak buat inti saya harus menggunakan gula kabung. Saya tak mahu membazir gula kabung jadi saya pun terus bancuh adunan untuk membuat kuih ini.

Bahan-bahannya :

-.3 cawan tepung pulut
- 3/4 cawan tepung beras
- 2 cawan air
- 5 helai daun pandan yang dikisar dan ambil airnya
- garam secukupnya
- kelapa parut yang diambil putih sahaja (tambah sedikit garam)
- gula kabung ( dipotong kiub sebesar 1cm)
- air yang mendidih (untuk merebus adunan)

Cara membuatnya:

Tepung beras pulut dan tepung beras tadi digaul rata. Letakkan sedikit garam dan tuangkan air daun pandan, kemudian gaul hingga rata. Selepas itu tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan itu boleh dikepul (dibuat bulat).

Ambil adunan sebesar ibu jari kemudian leperkan sedikit supaya boleh diletakkan gula kabung tadi. Kemudian dibulat-bulatkan dengan tapak tangan. Setelah itu,masukkan adunan kedalam air yang telah mendidih tadi. Apabila adunan dimasukkan kedalam periuk, adunan itu akan tenggelam dan setelah adunan tadi masak ia akan timbul ke permukaan air. Boleh diangkat sekarang dan digaul bersama kelapa parut. Ulang proses yang sama hingga selesai.

February 27, 2010

Resepi Pengat Pisang

Kalau di Malaysia ada pisang tanduk. Tapi disini tak ada, so saya jumpa pisang dari India..Yellow Banana. Rasanya macam pisang tanduk cuma saiznya kecil sedikit. Apabila dibuat pengat atau digoreng bersama tepung, rasanya tak ubah seperti pisang tanduk.

Bahan-bahannya:

- 5 biji Yellow Banana
- 1 cawan gula
- 1 cawan santan pekat
- 2 helai daun pandan
- 3 cawan air
- 3 sudu biji sagu (sagu mata ikan)
- garam secukupnya

Cara membuatnya:

Hiris pisang secara melintang setebal 1 1/2cm dan masak bersama air. Letakkan daun pandan sekali. Apabila air sudah mendidih, masukkan biji sago dan masak pada api sederhana. Apabila sago sudah masak(menjadi jernih) masukkan gula. Masak sehingga gula hancur. Selepas itu ditambah santan dan garam secukup rasa.

Kami sekeluarga suka menikmati pengat pisant ini bersama roti Baguette. Sesuai sebagai hidangan minum petang.

February 25, 2010

Sushi

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada Chef Mohamad Ali Kunhi, The Saffron at Atlantis The Palm. Beliau telah memperkenalkan makanan ini kepada saya. Walaupun sebelum ini anak-anak saya semua suka Sushi. Saya memang tidak berminat pada masakan dari Negeri Matahari Terbit ini. Tetapi selepas menikmati sushi di Saffron, saya menjadi suka pada sushi. Di Dubai tak banyak restoran sushi. Oleh kerana nak mencuba kelainan, saya dan keluarga telah pergi ke restoran sushi di Festival City, Dubai. MasyaAllah, mahal sungguh harganya. Saya berazam untuk belajar membuat sushi. Anak saya yang sulong memang berminat dalam bidang masakan dan dia telah berusaha untuk membuat sushi ala Melayu. Alhamdulillah....kami tak perlu ke restoran sushi lagi. Kami akan buat sendiri dirumah.

Bahan-bahannya:

- 3 cawan beras sushi
- 5 cawan air
- 4 sudu besar cuka untuk nasi sushi
- 1 sudu besar gula
- sedikit garam
- timun dan karot (dipotong halus secara memanjang)
- tuna atau ikan salmon (dipotong panjang-panjang)
- roasted seaweed (10 keping)
- kicap sushi dan wasabi
- jeruk halia

Cara membuatnya:

Masak beras sushi. Saya gunakan beras Egypt juga sebab beras sushi ni mahal dan susah nak jumpa. 3 cawan beras Egypt tu saya masak dengan air yang banyak. Bila saya dapati nasi tadi sudah masak..saya buang airnya. Biarkan diatas api yang sederhana sehingga kering. Keluarkan nasi dan letak dalam pinggan supaya cepat sejuk.

Sementara itu campurkan cuka gula dan garam. Kacau sehingga larut bahan-bahan tersebut. Tuangkan keatas nasi sedikit demi sedikit dan gaul sehingga rata. Ambil satu senduk nasi dan ratakan di atas roasted seaweed (pilih yang hitam pekat kerana lebih rangup dan sedap). Susun karot, timun dan tuna secara memanjang di atas nasi. Saya akan tambahkan mayonis kerana anak-anak suka sushi yang ada mayonis. Kemudian gulung sampai ke hujung. Potong mengikut saiz yang kita suka.

Sushi sedia dimakan bersama jeruk halia, kicap sushi dan wasabi.


February 6, 2010

Bihun Sup

Bahan-bahannya:

1. Sup
- 1kg ayam atau daging
- 10 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 bungkus sup bunjut
- 1 peket rempah sup
- daun bawang dan daun sup
- minyak masak
- bawang goreng
- air
- garam secukupnya

Sup ayam adalah kegemaran keluarga saya. Sekiranya saya memasak sup harus bersama bihun bukan makan dengan nasi. Maka resepinya senang sahaja. Ayam akan dipotong kecil-kecil. Bawang putih, bawang merah dan halia saya akan tumbuk (tidak perlu sampai lumat). Panaskan minyak dan tumis bahan2 yang ditumbuk tadi. Biarkan sehingga kekuningan. Masukkan sup bunjut dan tumis sehingga naik bau bahan-bahan tumisan tersebut. Kemudian tambahkan air. Biarkan sampai menggelegak baru di tambah rempah sup ( bancuh dengan air dahulu sebelum dimasukkan kedalam periuk). Di tambah sedikit garam (mengikut citarasa). Selepas menggelegak masukkan daun sup dan daun bawang. Taburkan sedikit bawang goreng. Tutup periuk dan padamkan api.

2. Mee
- bihun (saya suka cap bintang atau Eka, tapi disini tak ada brand ni)
- Sedikit pewarna kuning telur

Bihun hendaklah direndam bersama air panas sehingga lembut. Bubuh sedikit pewarna kuning telur (mengikut citarasa). Setelah lembut toskan bihun tadi dan siram dengan air sejuk. Sekiranya tidak suka pada pewarna maka biarkan saja bihun itu pada warna asli.(Kami ni orang Utara, sudah terbiasa dengan bihun yang berwarna kuning)

3. Sos
- 300 g cili padi
- 1 cawan kicap manis
- sedikit gula dan garam (mengikut citarasa)
- asam keping (1)
- seulas bawang putih
- 500 ml air (lebih pun tak apa)

Sos ini sangat penting kalau nak makan bihun sup. Cili api akan dikisar dengan air dan bawang putih. Masak cili tadi dan asam keping dengan api yang sederhana sehingga airnya hampir kering kering. Tambahkan kicap dan gula. Kalau perlu boleh tambah sedikit garam. Biarkan sehingga sos tadi pekat baru dipadamkan api.

4. Hiasan
- 300 g taugeh (dibuang akarnya dan dicelur dengan air panas)
- 300 g timun ( dihiris secara melintang dan dipotong halus)
- bawang goreng
- daun sup dan daun bawang

Bihun sup sedia untuk dihidang.

P/S Bagi diri saya yang tak makan bihun ni maka saya akan masak nasi impit untuk dimakan bersama sup ayam. Apa jenis makanan yang berasaskan bihun memang saya tak makan. Asalnya adalah disebabkan semasa saya tinggal diasrama dahulu, bihun akan digoreng dalam kawah. MasyaAllah, keadaan bihun itu sungguh menyedihkan sehingga kami tak lalu nak makan. Akhirnya saya tidak ada selera untuk menjamah bihun. Hanya bihun yang saya goreng sendiri saja yang saya akan makan , itupun sebab nak rasa samada bihun goreng saya jadi atau tidak. Tetapi keluarga saya sangat suka makanan yang berasaskan bihun. Maka saya hanya akan memasak bihun untuk mereka.

February 5, 2010

Laksa Mama



Laksa ini sangat istimewa bagi kami sekeluarga. Laksa ini hanya akan dihidang pada hari-hari perayaan sahaja seperti Hari Raya, Deepavali atau Chinese New Year. Laksa ini jarang menjadi hidangan pada hari-hari biasa melainkan pada majlis ulangtahun.

Resepi Laksa ini adalah hakmilik terpelihara Pn Zuhayati. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada beliau keran telah membenarkan saya menggunakan resepi tersebut di Dubai. Anak-anak saya juga berasa sangat gembira kerana mereka telah terlalu memendam rasa untuk makan Laksa Mama ini di Dubai, terutamanya anak saya yang bongsu Mohd Shaddad. Terima kasih sekali lagi.

February 4, 2010

Sambal Tempoyak Daun Kayu

MasyaAllah, bila jadi perantau ni...tekak ni macam-macam yang teringin nak makan. Penat juga berfikir macamana nak bawa tempoyak naik kapalterbang. Seorang kawan dari Abu Dhabi (Pn Raidah) beritahu...masukkan tempoyak kedalam freezer dulu. Bila dah cukup keras barulah dibungkus dengan kertas dan plastik. Baunya tak akan keluar. Dia pun telah memberikan saya sebungkus tempoyak.

Maka saya pun teringin pula nak makan sambal tempoyak cara orang Negeri Sembilan.

bahan-bahannya :

- 1 cawan tempoyak
- 100g ikan bilis
- 2 ikat pucuk ubi (dihiris)
- 3 helai daun kunyit (dihiris)
- 2 batang serai (dihiris)
- 2 inci kunyit hidup
- 100g cili padi
- 2 cawan santan pekat
- 2 batang serai (dihiris)
- 2 cawan air (mengikut citarasa)
- 150g petai (belah dua)
(Pucuk-pucuk lain seperti pucuk labu.....apa2 lagi boleh di tambahkan)

Cara membuatnya

Cili padi dan kunyit hendaklah ditumbuk. Saya akan masak bahan ini dengan sedikit air diatas api yang sederhana. Tujuannya supaya cili ini tidak pedas sangat bila dimakan nanti. Bancuh tempoyak dengan air (supaya tempoyak tadi tidak berketul-ketul) dan tuangkan kedalam periuk tadi. Masukkan ikan bilis dan masak sehingga mendidih. Masukkan serai dan daun-daun yang sudah dihiris. Tambahkan petai. Masak sehingga mendidih.

Dodol

Seperti saya katakan tadi...bila dah merantau ni, macam-macam jenis makanan saya boleh buat sendiri. Pada musim panas 2008, semasa saya berjalan-jalan pada waktu malam bersama suami...kami teringin sangat nak makan dodol. Saya kata macamana nak kacau dodol, siapa nak tolong kacau lagi pun padang pasir ni. Kalau masa kita kacau dodol tu...datang ribut pasir...habis dodol kita.

Kami pun lupakan pasal dodol...kerana kami akan pulang ke Kuala Lumpur nanti. Saya cadangkan supaya kita kacau dodol semasa disana nanti. Rupa-rupanya sepanjang kami bercuti di Kuala Lumpur selama 6 minggu, tidak ada masa untuk kami kacau dodol.

Oleh kerana terlalu ingin sangat nak makan dodol....(kacau dodol adalah upacara tahunan Keluarga Basri) maka saya telah membuat penyelidikan tentang resepi dodol keluarga kami. Maka saya telah menghasilkan resepi yang baru...sesuai dengan keadaan kami disini.

Resepi Dodol:

- 1 cawan beras pulut ( dikisar menjadi tepung)
- 1 cawan gula putih
- 1 cawan gula merah
- 3 cawan santan pekat
- 2 liter santan cair

Cara membuat :

Masakkan santan pekat sampai naik minyaknya. Sementara kita masakkan santan, tepung beras dikacau bersama santan cair dan biarkan. Tujuannya supaya tepung beras tadi kembang dan senang nanti semasa kita mengacau.

Bila santan tadi dah masak, masukkan tepung beras yang sudah dikacau bersama santan cair. Apabila tepung ini sudah dimasukkan maka kita mesti sentiasa terus mengacau. Jika kita berhenti mengacau, tepung tersebut akan berketul. Kacau sehingga adunan tadi pekat dan masukkan gula. Gula boleh ditambah mengikut citarasa. Kemudian kacau berterusan sehingga likat seperti dalam gambar. Saya mengambil masa 3 jam, barulah dodol saya siap.

Dodol sedia untuk dihidangkan.

February 3, 2010



Lemang

Sejak kami tinggal di Dubai ni....macam-macam resepi dah saya cuba. Maklumlah dulu tinggal berdekatan dengan adik-beradik, bila teringin nak makan apa-apa...saya akan minta kakak-kakak saya yang buatkan. Saya ni memang kurang pandai bab masak-memasak ni. Saya hanya masak untuk keluarga sahaja.

Apabila kami berada jauh dari keluarga, saya sudah pandai buat lemang. Kalau lemang di kampung, dibakar dengan bara api. Lemang yang saya buat di Dubai saya bakar dalam oven. Alhamdulillah...rasanya tetap serupa. Saya sertakan resepi lemang untuk perantau seperti kami...maklumlah kalau Hari Raya tak ada Lemang dan rendang tu...tak lengkap rasanya.




Resepi Lemang :

- 1 kg beras pulut
- 2 liter santan pekat
- sedikit garam
- daun pisang
- aluminium foil

Cara membuat :

Bubuh sedikit garam ke dalam santan supaya naik lemaknya. Kemudian tanak pulut dengan 1.5 liter santan. Kacau pulut yang ditanak itu supaya lemaknya akan sama rata. Tanak pulut hingga setengah masak sahaja.

Sediakan daun pisang sepanjang 12 inci setiap sehelai. Kalau daun pisang kecil...sediakan dua helai daun untuk setiap batang lemang. Sendukkan (150g) pulut yang telah siap tadi dan letakkan di atas daun pisang secara melintang (iaitu ikut panjang daun). Gulungkan daun pisang sambil kita menekan-nekan pulut tersebut supaya menjadi bulat seperti lemang dalam buluh. Setalh siap digulung lipat hujung daun sebelan kiri dan pada hujung daun sebelah kanan....tambahkan 2 sudu santan. Kemudian lipatkan bahagian tersebut. Kemudian balutkan dengan aluminium foil mengikut saiz lemang tersebut. Ulang proses yang serupa sehingga pulut itu habis. Bakar didalam oven selama 30 minit (lebih kurang) pada suhu 180*C.

Lemang sedia untuk dimakan.

P/S : Untuk pengetahuan kawan-kawan, kami makan lemang cicah susu pekat manis F&N. Yummy...yummy...yummy

February 1, 2010

Resepi Kue Teow Goreng

Bahan-bahannya:

- 1 kg Kue Teow
- 200g daun kuchai
- 200g taugeh
- 5 sudu cili kering yang telah dikisar
- 3 ulas bawang putih
- 300g ayam atau udang atau kerang
- garam secukupnya
- kicap manis
- kicap pekat
- sos tiram
- 1/2 cawan minyak masak

Cara membuatnya:

Kue Teow tersebut dicerai-ceraikan terlebih dahulu. Daun Kuchai dipotong sepanjang 2 inci dan taugeh dibuang akarnya. Bawang putih diketuk dan dipotong.

Panaskan minyak dalam kuali. Setelah minyak panas, masukkan bawang putih dan tumis hingga naik baunya. Masukkan cili dan tumiskan sehingga masak. Selepas cili masak masukkan udang atau ayam atau kerang dan goreng hingga masak. Tambahkan kicap manis, sos tiram dan kicap pekat. Tambahkan sedikit garam. Kemudian masukkan kue teow dangoreng hingga masak. Masukkan taugeh dan daun kuchai.

Gereng sekejap lagi. Masukkan telur dan goreng lagi sehingga masak. Kue teow sedia untuk digoreng.

Kue Teow Goreng



January 30, 2010

Puree dan Kentang Masala




Bahan-bahan untuk membuat puree :

- 1 kg tepung wheatmeal(boleh juga guna tepung gandum)
- 1/2 cawan minyak jagung
- air suam secukupnya
- 2 sedu teh garam
- 4 cawan minyak masak untuk menggoreng

Cara membuat :

- Mula-mula campurkan tepung, minyak jagung dan garam, gaul sampai rata. Tuang air suam sedikit demi sedikit sambil menguli tepung tersebut. Setelah adunan tersebut sebati dan lembut (seperti adunan roti canai), buatkan bulat-bulat sebesar bola pingpong.

- Kemudian digelek dengan pengelek seperti membuat capati. Pastikan bentuknya bulat dan nipis. Selesai menggelek adunan tadi digoreng bersama minyak panas. Sambil menggoreng tekan adunan tersebut perlahan-lahan dengan sudip dan adunan akan menggelembung. Balikkan puree dan biarkan sekejap sehingga kelihatan kekuningan. Selesai menggoreng, sedia untuk dihidangkan bersama kari ayam atau daging atau kentang masala. Anak-anak saya suka makan bersama susu pekat manis.


KENTANG MASALA


Bahan-bahan :

- 1 kg ubi kentang
- Daun kari
- 2 sudu teh biji sawi
- 2 sudu teh jintan putih
- 1 sudu teh halba
- 3 sudu besar serbuk kari
- 3 sudu besar minyak masak (untuk menumis)
- 8 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 3 biji tomato yang sederhana besar
- sedikit garam

Cara membuat :

Ubi kentang dipotong dadu sebesar 1 1/2 inci dan direbus sehingga masak. Jangan dibiarkan sampai terlalu lembut. Setelah masak, kentang tersebut ditoskan airnya. Bawang merah dan bawang putih dihiris. Tomato juga dipotong nipis.

Panaskan kuali bersama minyak masak. Tumiskan bawang merah dan bawang putih sampai naik baunya. Masukkan daun kari, jintan putih, halba dan biji sawi dan goreng sebentar. Kemudian masukkan rempah kari yang dibancuh bersama sedikit air. Tumis rempah sampai masak. Seterusnya masaukkan tomato yang sudah di hiris. Setelah tomato tadi layu, masukkan pula kentang. Kacau sehingga rata rempah tadi dengan kentang. Jangan hancurkan kentang tersebut. Sedia untuk dimakan.

January 27, 2010

Resepi Kuih Koci Pulut Hitam




Bahan-bahannya :

- 400 g tepung pulut
- 1/2 cawan beras pulut hitam (saya blend jer sebab disini tak ada tepung pulut
hitam)
- 1/2 cawan santan
- air secukupnya
- daun pisang (dilayur atas api dan potong mengikut saiz yang kita suka)

Cara membuatnya:

Tepung beras pulut hitam dicampurkan dengan tepung pulut dan digaul hingga rata. Tuangkan santan dan air. Uli sehingga adunan boleh dikepal. Kepalkan adunan dan ditekan dengan jari supaya rata. Letakkan inti dan cantumkan semula adunan tersebut sehingga menjadi bulat.

Pada masa yang sama, panaskan air dalam periuk sampai mendidih. masukkan adunan yang telah siap berinti tadi. Bila adunan itu timbul terus angkat dan masukkan dalam kuahnya sebelum dibungkus dengan daun pisang. Tak perlu dikukus lagi.


bahan-bahan untuk kuah:

- 1 tin cawan santan pekat
- 1 cawan air
- 2 sudu makan tepung gandum
- garam secukupnya

Campurkan semua bahan dan kacau diatas api sehingga pekat. Apabila siap, biarkan sejuk. Masukkan terus kuih koci yang diangkat dari periuk tadi ke dalam santan dan ulang proses tersebut sehingga adunan kuih koci tadi habis di rebus. Siapkan daun pisang berukuran 4 in x 4 in. Daun pisang harus di gunting bulat supaya mudah untuk kita melipat kuih itu nanti. Kemudian ambil seketul kuih koci dan bungkus. Ulang proses sehingga kuih koci tadi habis. Kuih Koci sedia untuk dimakan dan tak perlu di kukus lagi.

Resepi Kuih Ketayap



Bahan-bahan inti :

- 1 biji kelapa muda (parut)
(disini tak ada kelapa muda...saya guna lah kelapa tua...ok juga
- 1/2 cawan gula merah
- 1/2 cawan gula pasir
- sehelai daun pandan
- 2 cawan air

Cara membuatnya :

Campurkan kelapa parut dan gula (saya tambah garam sedikit). Letak daun pandan sekali. Tambahkan air dan masak sehingga airnya kering.

Bahan-bahan untuk kulit kuih ketayap :

- 2 cawan tepung gandum
- 1/2 cawan santan
- 2 cawan air
- 1 cawan air pandan
- sedikit garam
- sebiji telur

Cara membuatnya:

Tepung dan telur digaulkan sekali. Masukkan santan, gaul hingga sebati. Kemudian masukkan air pandan dan kacau lagi hingga rata. Pastikan adunan tidak berketul. Tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan tidak terlalu pekat dan jangan pula terlalu cair. Sebagai panduan, bila adunan dikacau, tepung yang melekat pada senduk itu nipis sahaja.

Setelah selesai. panaskan kuali. Masukkan satu senduk kedalam kuali dan golekkan kuali supaya adunan tadi menjadi bulat dan nipis. Bila telah masak, angkat dan letakkan inti tadi secara melintang. Gulung dan lipatkan sedikit pada hujung bahagian kiri dan kanan. Seterusnya gulung sampai siap.

Sedia untuk dihidang...

January 24, 2010

Mamak's Fried Noodle

This recipe is special for Shaddad' s Assistant Teacher ...Mrs Mary Anne.

Ingredients:

- eggs noodles 500 g (soak into hot water until the noodles....tender)
- dried chilly ( 15 pieces)
- 3 cloves garlic
- 1 cm fresh ginger
- 2 medium onion
( blend the chilly, garlic, ginger and 1 medium onion : another one sliced thinly)
- 200 g fresh prawn
- 100 g tofu
- bean sprout
- carrot (sliced thinly)
- 200 g park soy ( green leaf vegetables)
- 1 egg
- 3 tablespoon vegetables oil
- 4 tablespoon dark soy sauce (as desired)
- 2 tablespoon oyster sauce (as desired)
- 1 teaspoon salt (as desired)
- 1 cup of water


- rinse the noodles under cold water and drain
- meanwhile : heat the wok with oil and stir fry the sliced onion until browned
- add the blended ingredients and stir until the chillies separated from the oil
- add prawn
- after a while add the soy sauce and the oyster sauce and not to forget the salt
- add water and leave until boil
- add the noodles and stir
- when the noodles is almost cooked add all the vegetables
- after the vegetables wilts and the sauce become dry... add the eggs..stir well
- ready to eat now......hehehe

About Me

Saya berasal dari Kampung Padang 'A', Astana Raja, Kota Negeri Sembilan. Pendidikan awal saya di Sekolah Kebangsaan Astana Raja. Cik gu yang paling saya ingat semasa di sekolah ini ialah Cikgu Hasnah Peral, Cikgu Zaharah dan Ustaz Hussin. Ada sejarah yang penyebabkan saya ingat pada mereka sampai sekarang.

Cikgu Hasnah tu...cikgu pertama di sekolah tersebut manakala Cikgu Zaharah ni...saya selalu bawakan ulam pegaga untuk dia dan dia akan bagi saya duit 20 sen..Ustaz Hussin pula...masa dia tengah mengajar, saya keluar dari kelas untuk minum air. Kemudian dia tanya saya kenapa keluar...saya jawap "saya sakit perut ustaz"...terus dia suruh saya pergi klinik. Sebenarnya saya keluar minum...sedangkan masa tu.......dot dot dot....

Kawan-kawan yang saya ingat namanya sampai sekarang antaranya Hamidah Osman, Hamidah Yusof, Nora Shamsudin, Faridah Doya, Hanita Mohamad dan Nirwana...yang lain...Mohd Hanafiah...(sebab ayahnya cikgu di sekolah)...yang lain tu tak berapa pasti...dah lama sangat..

Secondary School

Keputusan Penilaian Darjah 5 saya tu baik....dapat masuk sekolah berasrama di Sikamat Seremban. Sekolah Menengah Agama Sheikh Haji Mohd Said....jiran kita Sekolah Tunku Kurshiah.

Masih segar dalam ingatan lagi...sekolah masa dulu-dulu. Masa nak periksa tu...Darjah 5, Kak Lang belikan 5 buah buku untuk saya ulangkaji (semua subjek). Oleh kerana hanya ada 5 buah buku sahaja...sampai saya hafal semua jawapan...bila tengok soalan dah tau jawapannya...tak tau dah berapa kali ulang buku tu....susahnya hidup masa itu.

Bila dapat masuk asrama...masalah juga...kenapa? Mak dan abah tak ada duit. Mujur juga ada padi dalam Ku'i (tempat simpan padi)....jemur semula padi tu dan jual untuk dapatkan duit yuran sekolah (tak ingat berapa jumlah) tapi ada juga masalah lagi...apa pulak? Macamana nak pergi ke sekolah tu...di Seremban. Mujur ada Allahyarham bang Kassim....dia ada kereta...jadi kami sewa kereta dia untuk ke Seremban (45 minit dari rumah pada masa sekarang). Sehari sebelum berangkat tu...mak jual ayam...tak ingat berapa ekor...nak buat tambang dan duit untuk belanja....susah betul ya...

Masa duduk asrama...abah tak boleh datang selalu sebab abah tak ada lesen motor. Alhamdulillah...pak cik Musa...Jaga di sekolah tu tinggal berhampiran dengan kampung kami...jadinya bolehlah mak kirimkan barang pada pak cik Musa. Selalu mak akan kirim ikan bilis goreng bercili dengan kacang tanah....bila ada jer barang mak kirim...pak cik akan panggil dari bawah...Milah ooo Milah...seronoknya bila pak cik panggil...dalam fikiran adalah makanan yang sedap sikit dari makanan asrama hari ni....

Banyak kenangan di sekolah ni...Pengetuanya Ust Haji Mohd Yusof...garang betul...Guru Maths (F3) Cikgu Mat Shah...terima kasih cikgu (duduk di Gedung Lalang, Serembn), Ust Zubaidah Sheikh Ahmad, Mrs Ang (selalu tumpang teacher bila nak ke Seremban)...Guru Sains saya sangat tegas Cikgu Normah (ingat lagi celak di mata cikgu tu)....cik gu Siti Hawa (kami dok kira perkataan "a" cikgu..)...manis sungguh masa tu...

Kenangan paling manis disini.....masyaAllah hanya Allah saja yang tahu....jeng..jeng...jeng ....(malu nak ceritalah) selain itu ...dapat kutu kepala dari kawan-kawan..nak tau siapa?....alamak, dia tu kaki gaduh lah...

Abang angkat saya Abdul Razak...dan adik angkat juga Abdul Razak...yang ingat dia ni orang Dusun Nyiur Seremban..entahlah...habis kat situ jer. Kawan-kawan perempuan.... mana dia orang ni..Zunairah, Zurainah, Khatijah Abu Bakar, Zubaidah Abu Bakar, Norazlina Sidek....ah ramai lagi. Masih berhubung lagi dengan Safiah Abdul Rahman...dan Hafizah ( senior ...lupa panggilannya saya hentam Along...rupanya dia Angah).

Periksa SRP...cemerlang. Seterusnya SPM...cemerlang lagi. Mesti rajin belajar...kita orang susah ( mesti masuk U ). Alhamdulillah...masa belajar disini..saya dapat biasiswa Rm48 sepenggal...banyak masa tu..Kena tambah rajinlah sebab dapat bantuan kerajaan..masa Tingkatan 5 dapat Rm120 sepenggal...banyaknya (masa tu).

Kolej Islam Kelang

Selepas kecemerlangan terbukti dalam SPM, saya ditawarkan tempat untuk belajar bersama kawan-kawan lain yang pandai. Kolej Islam Kelang adalah antara sekolah berasrama penuh bantuan kerajaan yang terbaik pada masa itu. Sesiapa yang belajar dari sekolah beraliran agama dan lulus cemerlang dalam SRP dan SPM akan ditawarkan tempat untuk belajar di situ. Bagi saya bila saya sudah belajar di KIK maka saya sudah menempah tempat untuk ke universiti. Saya sangat yakin tentang itu.

Semasa di KIK, saya belajar bersungguh-sungguh untuk lulus cemerlang dalam STPM. Sepanjang saya belajar di sana saya mendapat bantuan sepenuhnya dari kerajaan. Asrama saya di Kelang juga berhampiran dengan rumah kakak-kakak saya di Kuala Lumpur. Keadaan menjadi semakin mudah apabila mereka selalu melawat saya diasrama. Saya hanya menumpukan perhatian pada pelajaran saya saja. Alhamdulillah...kesemua lima matapelajaran yang saya ambil telah lulus dengan cemerlang.

Sukacita saya memberitahu bahawa usaha saya memang berbaloi. Ketika semua orang sudah tidur, saya masih lagi belajar. Sebelum semua kawan-kawan bangun dari tidur, saya sudah pun siap sedia untuk ke sekolah. Saya memang rajin belajar sebab saya nak masuk universiti. Pada masa itu tumpuan saya hanyalah pada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Allah yang Maha Mengetahui. Dia telah menentukan segala-galanya. Berkat usaha dan doa saya. Ibubapa saya juga senantiasa mendoakan kejayaan saya. Saya ditawarkan belajar di UIAM dalam jurusan Ekonomi untuk sessi 1986/90. Alhamdulillah....

Dunia