October 23, 2011

Sambal Jering



Lauk kegemaran saya ni.....kalau ada lauk ni mesti terlupa nak berhenti makan.


Apabila membeli jering saya selalu memilih, saya pilih jering yang boleh dibuat ulam(jering muda) dan juga jering akan saya buat sambal (jering tua). Jering tua ni kalau nak dibuat ulam, tak terkunyah oleh gigi kerana keras.

Bahan-bahan :

500g jering tua
15biji cili merah
15 biji cili api
7 ulas bawang kecil
3 ulas bawang putih
2 biji tomato masak (saiz sederhana)
2 biji bawang besar
100g ikan bilis.

Cara-cara membuat :

Hiris jering (sebiji jering dihiris 4) secara melintang dan goreng. Begitu juga dengan ikan bilis, goreng sehingga ranggup dan sejukkan. 

Kisar cili merah, cili api, bawang putih, bawang merah, 1 biji bawang besar dan tomato. Sementara itu panaskan minyak didalam kuali (saya campurkan dengan minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan bilis dan jering tadi), apabila cukup panas tuangkan bahan2 yang sudah dikisar tadi dan tumis sehingga masak. Apabila sambal sudah garing masukkan jering dahulu dan akhir sekali masukkan ikan bilis. Tutup api dan hidangkan.

October 3, 2011

Sausage Roll



Tuna Roll


Cakoi



Alamak !!! Cakoi in Dubai lah!!!!!!!

Bahan-bahan :

500g tepung gandum
1 1/2 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
3 sudu besar minyak masak
1 cawan air panas (mendidih)
1 cawan air suam
10 ulas bawang putih
1/2 sudu kecil Amonia
1 susu besar yis kering


Cara-cara membuat :

- Mula-mula cincang bawang dan masukkan kedalam air panas. Biarkan sampai sejuk.

- Kemudian masukkan 1/2 sudu gula kedalam air suam dan tambahkan yis. Kacau supaya rata dan biarkan sehingga yis berbuih (mengembang)

- Pada masa yang sama gaulkan tepung bersama baki gula, garam, minyak masak dan amonia sehingga rata. Tuangkan sedikit demi sedikit air yang bercampur bawang putih tadi tetapi hendaklah ditapis terlebih dahulu. Gaul sehingga rata. Seterusnya masukkan air yang bercampur dengan yis dan uli sehingga lembut. Adunan ini mestilah betul lembut supaya kita mendapat Cakoi yang bersarang selepas digoreng.

- Biarkan adunan mengembang sehingga 2 kali ganda. Tumbuk-tumbuk adunan dengan tangan untuk membuang angin. Pada masa yang sama siapkan tepung gandum untuk di tabur diatas meja supaya adunan tidak melekat. 

- Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. Ambil 1 bahagian dan digiling dengan penggiling supaya kita dapat adunan yang nipis (1cm), cuba gelek supaya adunan menjadi segiempat tepat(memanjang). Tujuannya supaya mudah kita memotong untuk menjadikan saiz cakoi. Kita juga boleh membentuk adunan dengan menggunakan pisau.

- Potong adunan secara menegak selebar 1 inci. Panjangnya mengikut kesukaan kita. Goreng dalam minyak yang banyak dan panas. Sesuai dibuat minum petang sambil cicah Cakoi dengan kaya.















Rendang Ayam


Untuk pengetahuan anda semua...kami sekeluarga makan Lemang ini selalunya bersama susu pekat. Semenjak Syawal 2011, saya buat rendang sangat sedap dan mereaka minta supaya saya buat lagi. Sebelum ini saya tak berminat dengan Rendang tetapi sekarang saya sudah mulai suka. Oleh yang demikian saya letakkan resepinya disini supaya mudah untuk saya dimasa hadapan.

Bahan-bahan :

1 ekor ayam ( lebih kurang 1.5kg)
25 tangkai cili kering (bergantung pada keselesaan....boleh tambah lagi)
25 ulas bawang putih yang sederhana besar
5 ulas bawang putih'
2 inci kunyit
4 batang serai (dihiris)
2 batang serai (diketuk)
2 ketul lengkuas (2 inci setiap ketul ; seketul dihiris dan seketul lagi diketuk)
1 inci halia
1 helai daun kunyit
2 tangkai daun limau purut
1 sudu rempah (saya buat sendiri iaitu campuran ketumbar, lada hitam dan jintan putih)
2 cawan minyak untuk menggoreng
3 cawan santan pekat
1 cawan kerisik

Cara membuat :

- Ayam dipotong sederhana kecil dan bersihkan. Saya ambil kulit ayam kerana anak saya suka, kalau tak
   mahu boleh buang. Gaulkan dengan garam dan kunyit. Goreng ayam (bukan deep fry) sekejap untuk
   membuang air dan bila dimasak ayam tak hancur. Simpan minyak gorengan tadi.
- Cili kering dibuang biji dan direndam bersama air panas. Bila dah lembut bolehlah dikisar
- Serai, lengkuas, kunyit, bawang putih, bawang merah dan halia hendaklah dikisar
- Panaskan kuali dan gunakan minyak gorengan ayam tadi. Tumiskan bahan-bahan yang sudah dikisar tadi
  sehingga naik baunya. Kemudian baru masukkan cili dan tumis hingga masak.
- Masukkan ayam dan biarkan sehingga mendidih. Bila ayam dah masak, masukkan santan dan masak
  sehingga mendidih (lebihkurang 20 min)
- Saya keluarkan dahulu ayam dari kuali dan terus memasak kuahnya sehing menjadi pekat.
- Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kalau lagi sehingga kuah menjadi pekat, baru masukkan kerisik.
  Masukkan daun kunyit dan daun limau purut
- Jangan berhenti mengacau kerana dikhuatiri rendang itu akan hangus. Kacau sehingga kuah menjadi kering
- Bila dah kering maka rendang sudah sedia untuk dimakan....

May 26, 2011

Udang Goreng Kicap



Assalamualaikum ......

'Summer vacation'....sudah, Ramadhan ......sudah dan Syawal pun sudah, hari ni baru terpanggil nak update blog ini. Alhamdulillah.....akan ku teruskan.

Bahan-bahan :

1 kg udang sederhana besar
3 sudu tepung
20 ulas bawang merah (kecil)
15 ulag bawang putih
3 inci halia
10 batang cili hijau
2 tangkai daun kari
3 sudu kicap pekat
4 sudu minyak untuk menumis

Cara membuat :

- Udang dibuang kepala sahaja dan dilumur dengan tepung jagung dan goreng sebentar dengan sedikit
   minyak (bukan deep fry ya) dan sejukkan
- cincang bawang merah, bawang putih, cili hijau dan halia sehingga halus
- panaskan minyak di atas api yang sederhana dan tumis semua bahan cincang dengan daun kari.
  Biarkan sehingga garing( atau warna hampir kecoklatan)
- Selepas itu masukkan udang dan kicap pekat, kacau sehingga rata. Boleh tambah garam jika suka...
- sedia untuk dimakan.

May 16, 2011

New York Cheese Cake

Belum cuba belum tau......(kata Sudin dalam Seniman Bujang Lapok).

Saya dah cuba dan saya sudah pun tahu....gembira dihati bukan kepalang. Lain kali kalau pergi ke Carrefour MOE tu, tak perlu jengah bakery sebab dah boleh buat cheese cake sendiri ala ala Secret Recipe lagi. Hahahahahhahahahhaha....senangnya dalam hati.

Bahan-bahan untuk lapisan bawah :

5 cawan nestum
1 cawan butter (cairkan dulu pun boleh juga atau pukul sikit supaya lembut)
3 sudu gula
1 cawan tepung jagung

Gaulkan semua bahan diatas dan lenyekkan diatas dulang pembakar yang sudah dilapik dengan kertas minyak. Kemudian bakar didalam oven selama 10 minit. Bila dah siap nanti biarkan sejuk sebentar.
Sementara kita membakar lapisan bawah Cheese Cake ini kita boleh lah membuat adunan cheese pula.

Bahan-bahan :

5 ketul Cream Cheese (Philadelphia)
1 cawan gula halus
2 cawan sour cream
3 1/2 sudu tepung gandum
4 biji telur

Campurkan cheese dengan sour cream dan kacau sehingga sebati. Masukkan gula dan tepung, kalau lagi hingga rata. Kemudian masukkan telur sebiji demi sebiji dan kacau hingga rata. Apabila bahagian bawah kek tadi sudah sejuk boleh lah tuangkan cheese yang sudah siap keatasnya. Gunakan dulang pembakar kek yang bersaiz besar. Sekiranya kita menggunakan saiz kecil kita boleh membuat dua buah Cheese Cake. Kemudian bakar didalam oven pada suhu 180*C dengan api bahagian bawah saja.

Char Siu Pau



Sungguh enak...hingga tak terkata. Dah buat berkali-kali dan semua ahli keluarga suka. Seronok juga bila duduk di negara orang ni. Saya jadi pandai memasak setelah belajar dari kawan-kawan. Char Siu Pau...saya belajar dari Puan Lemunai Ikum dari Miri, Sarawak. Terima kasih daun keladi Lim, kalau ada resepi baru boleh ajar lagi ya.

Bahan-bahan doh :

500g tepung gandum (bleached and pre-sifted)
2 sudu besar gula halus
2 sudu besar vegetable shortening
1 sudu besar yis kering
1 1/2 cawan air suam

Cara-cara membuat :

Gula di campur dengan 1 cawan air suam dan kacau sehingga rata. Kemudian masukkan yis dan kacau. Biarkan sebentar sehingga yis tadi mengembang (berbuih). Dalam masa yang sama kita campurkan tepung dengan vegetable shortening dan gaul sehingga rata. Sekiranya yis tadi sudah berbuih, bolehlah tuangkan sedikit demi sedikit kedalam tepung tadi dan uli sehingga sebati. Tuangkan baki air yang 1/2 cawan lagi ke dalam adunan dan uli lagi selam 30 minit. Pastikan adunan tadi lembut dan licin. Sekiranya masih belum lembut, boleh lah tambah air suam sedikit demi sedikit atau hanya basahkan tapak tangan sahaja sambil menguli. Pastikan adunan tidak melekat pada jari atau besen plastik tadi.

Apabila adunan sudah cukup lembut dan licin, biarkan selama satu jam atau sehingga adunan memgembang 2 kali ganda dari saiz asal. Tutup adunan dengan tuala panas dan tutup permukaan besen itu dengan pinggan supaya adunan mengembang dengan sekata. Untuk mendapatkan hasil yang lebih baik boleh simpan besen tadi didalam Microwave Oven (bukan untuk dipanaskan hanya untuk menyimpan sahaja).



Bahan-bahan inti :

4 ketul dada ayam
2 sudu besar char siu sauce
1/2 sudu oyster sauce
1 sudu besar kicap cair
garam secukupnya
sedikit lada sulah
1 sudu besar tepung jagung
1 ulas bawang besar (kuning)
2 batang lobak putih
3 sudu besar minyak masa untuk menumis

Cara-cara membuat inti :

1. Dada ayam dipotong dadu kecil-kecil atau dicincang tetapi jangan sampai hancur
2. Lobak putih dihiris nipis dan dipotong seperti batang mancis. Kalau nak parut pun boleh
juga
3. Bawang besar juga dipotong dadu.
4. Selain dari lobak putih kita juga boleh gunakan karot atau sengkuang.

Ayam tadi diperap dengan char siu sauce, oyster sause, kicap cair. Kemudian gaulkan lobak putih bersama ayam tadi. Panaskan minyak didalam kuali dan tumiskan bawang. Bila bawang sudah layu atau naik bau harumnya baru tuangkan campuran ayam dengan lobak tadi. Tumis pada api yang kuat. Apabila ayam tadi sudah masak bolehlah tambahkan lada sulah dan garam jika perlu. Bancuhkan tepung jagung dengan sedikit air dan tuangkan kedalam kuali. Biarkan sebentar sehingga inti kelihatan pekat. Kemudian sejukkan.

Sekiranya doh tadi sudah cukup kembang bolehlah kita tumbuk-tumbukan untuk membuang angin didalamnya. Kemudian timbang 30g doh untuk membuat pau. Leperkan doh dengan tangan sehingga lebar tapak tangan. Letakkan sesudu inti ayam dan cantumkan bahagian tepi doh tadi dengan cara menariknya keatas menggunakan dua jari. Biarkan bahagian yang dicantum tersebut menjadi bahagian atas kuih pau . Ulang proses yang sama hingga selesai...dan kukus selama 15 minit pada api yang kuat( 75%).

Semasa mengukus, boleh letakkan kain towel pada penutup kukus supaya wapnya tidak jatuh pada pau nanti.





April 19, 2011

Apam Balik Mini

Hahahahhahahahhaha....nak ketawa dulu. Idaman kalbu ...dah dapat buat ni walaupun tak sehebat apam balik yang dijual di pasar malam di Taman Putra Perdana, Puchong. Lepas ni kalau balik Malaysia tak perlu cari apam balik lagi....sebab dah boleh buat sendiri.

Bahan-bahan :

1 cawan tepung gandum (enriched-bleached-presifted)
1 biji telur (asingkan telur kuning dan telur putih)
2 sudu besar gula kastor
1 sudu teh baking powder
1 1/2 cawan susu segar
1 sudu besar minyak masak

Intinya :

1 cawan kacang tanah yang telah dikisar
1/2 cawan gula pasir
1 cawan jagung berkrim

Cara membuatnya :

Mula-mula pukul telur kuning dengan gula sehingga sebati. Masukkan tepung, garam, baking powder dan kacau sehingga rata. Masukkan minyak dan kacau lagi sehingga sebati. Tuangkan susu segar sedikit demi sedikit dan kacau sehingga rata. Tuang susu sehingga habis dan pastikan adunan tidak berketul. Di dalam bekas yang lain pukul telur putih sehingga kembang. Tuangkan kedalam adunan yang pertama dan kacau sehingga rata.

Panaskan kuali 'non-stick' pada api sederhana. Apabila sudah cukup panas, sapukan sedikit minyak di atas kuali dan ambil sesenduk kecil adunan dan tuangkan di atas kuali. Leperkan supaya menjadi bulatan. Biarkan sebentar sehingga aduan(lempeng) tadi separuh masak. Mula-mula taburkan sedikit gula pasir(mengikut cita rasa dan saiz lempeng) dan serbuk kacang tanah. Biarkan sebentar....letakkan sesudu kecil jagung berkrim. Lipat dua adunan tadi dan angkat. Sedia untuk dihidang kepada ahli keluarga.

Butter Rolls


Sekali lagi....demi keluarga saya mencuba resepi ini. Saya ambil dari Yani MyResepi.com dan saya tambah sedikit bahan-bahannya kerana saya nak cuba....ok tak?

Bahan-bahannya:

120ml susu segar
50g telur (1 biji telur saiz M)
300g tepung roti
3 sudu besar gula
1 sudu garam
60g butter
1 sudu teh dry yeast
1/2 sudu dough softner
1 sudu besar susu tepung
1 telur kuning untuk disapu atas adunan

Cara membuatnya:

Campurkan semua bahagian ke dalam besen dan gaul supaya rata. Masukan susu sedikit demi sedikit kedalam campuran tadi dan uli. Uli sehingga adunan menjadi lembut dan tidak melekat. Selesai menguli, biarkan adunan mengembang dua kali ganda saiz asal. Kemudian tumbuk-tumbuk adunan untuk membuang angin. Ambil sedikit adunan dan timbang adunan seberat 30 g supaya kita akan mendapat roti yang sama saiznya.

Ambil satu adunan dan bentukan seperti 3 segi memanjang. Nipiskan dengan pencanai dan gulung semula bermula dari bahagian yang besar ke bahagian yang kecil. Apabila dah siap semua adunan tadi dibentuk, biarkan selama 1 jam atau adunan naik 2 kali ganda dari saiz asal. Panaskan oven pada suhu 190*C dan sapukan adunan dengan telur sebelum dimasukkan ke dalam oven. Bakar selama 15-20 minit .

Selamat menjamu selera.


March 20, 2011

Chicken Curry Bun


Saya ni sebenarnya tidaklah pandai dalam hal membuat roti. Tetapi disebabkan kami tinggal di Dubai, roti-roti yang ada di sini tidak sama seperti yang saya dah makan sejak 44 tahun. Anak-anak pun sukar nak terima rasa roti-roti di sini. Mungkin kalau rakyat tempatan mereka sudah 44 tahun makn roti yang ada disini...jadinya, ok lah. Roti di sini kalau ada yang boleh dibeli pun harganya sangatlah mahal...."imported product from Western countries".

Anak-anak saya tak mahu membeli makanan di kantin sekolah kerana mahal. Lagipun duit belanja yag kami bekalkan tidak cukup untuk membeli makanan di sekolah. Oleh yang demikian mereka akan membawa makanan dari rumah. Maka, saya harus mempelbagai menu untuk dibawa kesekolah.

Saya tengok resepi dalam internet...jadi kalau ada resepi yang mudah tu saya akan cuba dan saya akan letakkan di sini supaya mudah untuk jadi bahan rujukan saya di masa hadapan. Alhamdulillah...'Chicken Curry Bun' saya ni lembut dan menepati selera keluarga.


Bahan-bahan :

300g tepung gandum
3 sudu gula
60g marjerin
1 sudu teh yeast kering
1 cawan susu suam ( susu pekat pun boleh juga)
1 biji telur
1 cubit garam
1/2 sudu dough softner

1 biji telur dicampur 2 sudu susu segar untuk disapu di atas adunan.
Cara membuatnya :

Mula-mula campurkan yeast kering dengan susu suam. Biarkan sebentar sehingga naik buih. Sementara itu campurkan semua bahan-bahan di atas dan gaul rata. Tuangkan campuran yeast tadi sedikit demi sedikit dan uli sehingga lembut. Sekiranya adunan masih keras saya masukkan sedikit air sehingga adunan betul-betul lembut dan tidak melekat. Saya menguli dengan tangan dan selalunya mengambil masa dalam 30 minit untuk mendapatkan adunan yang lembut.

Biarkan adunan tadi didalam besen dan tutup dengan kain sehingga saiz adunan tadi membesar 2 kali ganda dari saiz asal (selalunya lama masa yang diambil lebih kurang 1 jam). Kemudian saya tumbuk-tumbuk adunan tadi untuk membuat angin. Saya ambil adunan tadi sedikit dan akan timbang seberat 20g setiap satu. Saya leperkan adunan dan letakkan inti yang disukai. Kadang-kadang saya letak inti kelapa tetapi anak-anak suka inti kari ayam. Inti kari ayam ni sama saya buat macam inti karipap, cuma saya kurangkan kentang dan buat pedas sedikit.

Inti 'Chicken Curry Bun'

Bahan-bahan :

300g isi ayam (potong dadu kecil)
3 biji bawang besar (hiris dan potong dadu)
3 ulas bawang putih (cincang)
2cm halia (cincang)
3 sudu besar serbuk kari(bancuh dengan 1 cawan air)
1 tangkai daun kari
3 biji kentang (potong dadu)
1 liter air
garam secukupnya

Tumis bawang putih, halia dan bawang besar sehingga naik bau kemudian masukkan daun kari. Tumis sehingga bahan-bahan kekuningan. Masukkan serbuk kari dan tumis sebentar sehingga masak. Masukkan ayam dan masak sebentar sehingga ayam kecut. Masukkan kentang dan air. Masak sehingga ubi kentang tadi empuk. Jangan lupa letak sedikit garam mengikut cita rasa. Biarkan sejuk sebelum diisikan dalam adunan roti.

Apabila selesai mengisi inti...biarkan adunan tadi mengembang sekali lagi. Apabila adunan sudah sedia untuk dibakar...panaskn oven pada 190*C. Dalam masa menunggu oven panas, sapukan telur yang dipukul dan dicampur 2 sudu susu segar. Terus masukkan ke dalam oven dan bakar selama 15-20 minit. Roti sedia untuk dihidang. Kalau di rumah saya akan membuat roti untuk 2 adunan kerana kalau satu adunan sahaja, tak sempat nak bawa ke sekolah nanti. Habis di meja makan.

Red Beans Bun

Hahahahahahaha.....apa macam? Alhamdulillah ....berjaya sudah. Bun kegemaran saya iaitu roti kacang merah. Boleh cuba dan dijamin sedap.

Bahan2-bahan roti :

500 g tepung gandum ( pre-sifted and bleached)
2 sudu besar marjerin ( boleh juga guna shortening)
1/2 sudu kecil dough softner
1 sudu besar yis kering
1 1/2 cawan susu suam ( saya guna susu pekat)
1 sudu besar gula halus
2 biji telur ( saiz medium)
secubit garam

Sapuan atas roti :

1 biji telur kuning
1 sudu kecil susu segar
1/2 cawan bijan

Tepung gandum dicampur dengan marjerin dan dough softener. Gaul sampai rata. Pada masa yang sama masukkan yis kedalam susu suam dan kacau. Biar sebentar sehingga yis itu mengembang (berbuih). Apabila tepung tadi sudah digaul rata, masukkan telur dan gaul sekali lagi sehingga rata juga supaya warna dari kuning telur tadi sekata pada tepung. Jika yis sudah kembang, masukkan sedikit demi sedikit kedalam tepung dan uli sehingga tepung menjadi lembut dan gebu.

Apabila dah siap doh tadi (lembut, licin dan tidak melekit) bolehlah dibiarkan selama satu jam supaya doh tadi mengembang sehingga 2 kali ganda. Tutup doh tadi dengan tuala dan tutup dengan pinggan pada permukaan besen. Tujuan nya supaya yis tadi dapat bertindak pada suhu yang sekata.

Inti kacang merah :

500g kacang merah
2 cawan gula
1 cawan brown sugar
1/2 cawan minyak masak

Kacang merah direndam semalaman. Kemudian direbus sehingga masak. Apabila telah sejuk boleh lah dikisar bersama minyak tadi. Kisar sehingga halus. Masak semula didalam periuk dan tambahkan gula (mengikut kesukaan). Saya suka inti kacang merah yang manis kerana inti akan tahan lama. Saya akan tambah secubit garam dalam inti semasa kita memasaknya supaya manis inti tu akan naik. Masak sehingga inti likat dan jangan terlalu kering sehingga inti kacang pecah dan berderai. Kiranya nampak inti itu seperti berderai...harus ditambah sedikit minyak masak lagi. Hasil nya inti tadi akan nampak berkilat.

Bila doh roti kita sudah kembang dua kali ganda dari saiz asal boleh lah kita mulakan untuk mengisi inti. Tumbukkan doh tadi untuk membuang angin dan timbang 30g setiap seketul. Leperkan setiap doh yang sudah ditimbang tadi dengan tangan dan letak lah inti mengikut kesukaan kita. Oleh kerana saya suka inti kacang merah maka saya akan letak banyak inti.

Cantumkan doh tadi seperti kita membuat kuih pau dan leperkan sedikit adunan roti itu. Saya kelar dibahagian atas adunan tadi supaya inti kacang merah kelihatan. Kemudian saya sapukan bahagian atasnya dengan telor kuning(telor kuning yang dicampur dengan sesudu susu segar) dan taburkan sedikit bijan. Ulang proses sehingga selesai semua doh tadi.

Bakar dalam oven pada suhu 180*C selama 15-20minit.

February 22, 2011

Kuih Denderam


Kuih ini adalah kuih kegemaran kami adik-beradik pada masa dahulu. Mak selalu buat kuih ni dah abah pun boleh tolong juga. Tetapi masa dahulu, kami ni bukanlah dari golongan orang yang ada-ada jadinya nak beli gula merah tu pun berfikir dahulu sebelum membelinya.

Bila kami dah besar-besar dan berkeluarga, mak dah tak buat lagi kerana mak pulak dah tua dan kami pun selalunya akan beli saja. Tetapi, rasanya tak lah sesedap yang mak buat untuk kami dahulu. Terima kasih ya mak...sekarang saya dah tahu rahsia macamana nak buat kuih ini untuk anak-anak saya. Secara kebetulan...anak-anak suka "Cok Peniram".

Resepi :

1 kg tepung beras (2 peket blended rice flour)
1 kg gula merah
2 1/2 cawan air
1 helai daun pandan (sekiranya ada)

Cara membuat :

Masak gula merah bersama air sehingga mendidih dan tapis. Tuangkan sedikit demi sedikit air gula yang masih panas kedalam tepung beras yang sudah tersedia didalam bekas. Kacau dengan senduk sehingga rata. Sekiranya adunan tersebut kelihatan lembik boleh tambah tepung beras sedikit, jangan banyak sangat. Tetapi selalunya saya tidak tuang semua air gula kedalam tepung. Bergantung kepada keadaan adunan. Simpan semalaman sebelum digoreng. Lagi lama disimpan lagi sedap hasilnya keran tepung beras sudah sebati dengan air gula. Tak perlu disimpan dalam peti sejuk. Saya pernah biarkan sampai 3 hari.....wow!!! Hasilnya lagi sedap.

Sebelum kita mula menggoreng, adunan tadi haruslah diuli dahulu bersama sedikit air (untuk melembutkannya). Kemudian diambil sedikit-sedikit lalu dibulatkan seperti guli. Tekan dengan jari untuk mendapatkan bentuk yang bulat dan leper.

Kemudian dilubangkan pada bahagian tengah dan terus digoreng satu persatu.

Sekiranya anda mahu bentuk yang lebih cantik ambil adunan tadi (sebesar dua biji guli) dan bulatkan. Tekan dengan jari supaya dia membentuk bulat dan leper. Gunakan chopstik untuk membuat bentuk seperti kelopak bunga dan buatkan lubang pada setiap kelopak dan bahagian tengah. Tangan kita mestilah disapu minyak supaya adunan tidak melekat.
Selesai membentuk boleh terus digoreng...tidak perlu masak terlalu lama sebab tepung sudah masak semasa dicampur dengan air gula tadi. Cukup sekadar kulit kuih itu mengembang. Terbalik sekali kuih yang sedang digoreng dan biarkan seminit. Angkat dan toskan minyaknya...sedia untuk dimakan. Hidangkan bersama Teh 'O' panas, sangat serasi sehingga susah untuk berhenti.

Kuih Lompang

Alhamdulillah...akhirnya berjaya juga. Seingat saya, lebih 30 tahun yang lalu saya pernah membuat kuih ini. Baru kini mencuba bakat semula, ini pun kerana sambatun Hari Antarabangsa di sekolah anak-anak. Ibubapa diminta membawa makan tradisional Malaysia....maka terus tering kepada Kuih Lompang yang unik kerana ada lubang dibahagian tengah kuih.

Resepinya saya ambil disini : http://www.myresipi.com/top/detail/4259

Resepi ni sangat mudah dan pasti menjadi kuihnya. Saya pasti akan buat lagi.......

Bahan-bahan ( . )

  • 1 1/2 cawan tepung beras
  • 1 sudu makan tepung ubi
  • 1 sudu kecil air kapur
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 1/2 cawan gula merah
  • 2 cawan air
  • daun pandan
  • kelapa parut putih + secubit garam + daun pandan simpul - kukus kejap

Cara-cara

  1. - satukan gula melaka dan gula pasir dalam periuk kecil kemudian masukkan 1 cawan air bersama daun pandan. masak atas api kecil hingga gula larut. sejukkan sebentar
  2. satukan tepung beras dan tepung ubi dan tuang satu cawan air dan air kapur. gaul rata
  3. kemudian tuang air gula yang telah sejuk tadi. gaul hingga sebati
  4. tapis adunan dan tuang dalam acuan lompang yang telah di sapu ngan sedikit minyak.
  5. kukus 10 minit atau hingga masak. bila dah masak kuih akan jadi berlubang di tengahnya.
  6. hidang bersama kelapa parut yang di kukus tadi.

January 11, 2011

Cinnamon Rolls

Kami ni memang peminat "Cinnabon Rolls". Tetapi bila sampai di Dubai, kami terpaksa melupakan keinginan kami itu. Harganya untuk seketul Cinnamon Roll adalah 11 dirham dan kami ada 6 orang ahli keluarga. Kami harus membeli sekurang-kurangnya 6 ketul Cinnamon Roll dan jumlah harga adalah 66 dirham. Kami rasa macam tak berbaloi untuk membelinya disini.

Saya telah cuba beberapa kali resepi Cinnamon Rolls dan hari ni saya telah pun mencubanya lagi. Alhamdulillah.......success!!!!

Bahan-bahan :

Bahan A

- 1 peket yis kering (mauripan)
- 1 cawan susu suam (susu pekat + air suam)
- 1/2 cawan gula halus (gula kastor pun boleh juga)
- 1/3 cawan marjerin
- 2 biji telor
- 4 cawan tepung gandum

Cara membuat :

Campurkan yis dengan susu suam dan biarkan sebentar sehingga kembang (berbuih). Campurkan gula, tepung gandum, telor dan marjerin. Gaul sehingga rata. Masukkan susu suam yang sudah dicampur yis tadi sedikit demi sedikit . Uli sehingga adunan menjadi lembut dan gebu ( saya uli menggunakan tangan maka mengambil masa yang lama sedikit iaitu lebih kurang 30 minit). Selesai menguli, biarkan aduan didalam bekas dan tutup dengan kain bersih. Biarkan adunan mengembang sehingga dua kali saiz asal (disebabkan saya menguli dengan tangan maka adunan saya lambat mengembang iaitu lebih 1 jam).

Bahan B

- 1 cawan 'brown sugar'
- 2 1/2 sudu 'cinnamon powder'
- 1/3 cawan marjerin (lembutkan)

Campurkan 'brown sugar' dan ' cinnamon powder' dan gaul sehingga rata.



Doh yang telah dicanai dan disapu marjerin.


Bila adunan dah cukup kembang, tumbuk-tumbuk sedikit untuk membuang anginnya. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Canai adunan dengan kayu pencanai sehingga tebalnya 1.5cm dan besarnya terpulanglah ( saya canai adunan supaya kelihatan seperti segiempat supaya senang kita menggulungnya. Selepas siap mencanai, sapukan bahagian atasnya dengan marjerin. Kemudian taburkan serbuk 'cinnamon yang sudah dicampurkan dengan 'brown sugar'. Taburkan sehingga rata. Ulang proses yang sama untuk bahagian yang kedua tadi. Dalam masa yang sama, panaskan oven pada suhu 190*C



Taburkan serbuk 'cinnamon' yang telah dicampurkan dengan 'brown sugar'.

Apabila proses tersebut selesai, adunan tersebut hendaklah digulung sama besar. Kemudian dipotong setebal 2 cm setiap sekeping. Susun di atas loyang yang sudah disapu minyak. Biarkan sebentar sebelum dimasukkan kedalam oven ( dalam 15 minit, kalau nak masukkan terus kedalam oven pun boleh juga). Bakar selama 10 minit atau sehingga adunan bertukar kuning keemasan.


Apabila sudah masak, keluarkan dari oven dan biarkan sebentar sehingga roti menjadi sejuk. Kemudian barulah disapukan ' vanilla krim pada bahagian atas roti tersebut.


Krim Vanilla

- 8 sudu marjerin
- 1 cawan gula halus
- 1/4 cawan 'cream cheese'
- 1/2 sudu kecil vanilla
- 1/8 sudu kecil garam

Campurkan semua bahan dan pukul dengan mesin sehingga menjadi krim yang lembut dan gebu. Kemudian sapukan diatas roti yang telah disejukkan tadi. Sedia untuk dimakan dengan kopi panas bersama keluarga.


Sekarang tak perlu risau lagi apabila lalu dihadapan kedai "Cinnabon" kerana saya pasti anak-anak tak akan merengek untuk untuk membeli Cinnamon Rolls dari kedai. Bila kita buat sendiri bolehlah jimat sedikit sebab dapat banyak rolls.

January 10, 2011

Custard Cream Puff

January 5, 2011

Potato Bread


Alhamdulillah....hilang rasa rindu pada Potato Bread yang selalu kami beli di Carrefour Subang Jaya. Selalunya bila kami ke Carrefour Subang Jaya...kami tak lupa membeli sekurang-kurangnya 4 peket roti ini. Kalau roti ini baru dikeluarkan dari oven maka kami akan beli lebih lagi. Sedap untuk dimakan bila bersama keluarga.

Akhirnya kami jumpa resepi Potato Bread di Apron of Life by Naz Rinn Chan. Saya tak ikut sepenuhnya resepi beliau. Saya hanya perlukan bahan-bahan yang digunakan oleh Naz Rinn Chan. Resepi disini adalah diubahsuai mengikut apa yang saya ada.

Bahan-bahan :

300g tepung gandum
2 1/2 sudu kecil yis segera
1/2 cawan air suam
1/2 air sejuk ( peti ais)
1 cawan gula kastor
3/4 cawan kentang yang telah dilenyek
2 sudu besar susu tepung
1 sudu marjerin
1 biji telur

Cara - cara membuat :

Campurkan yis dengan air suam dan tambah sedikit gula. Biarkan sebentar sehingga berbuih. Kemudian gaulkan tepung gandum, gula, kentang dan susu tepung sehingga rata. Masukkan yis yang telah kembang tadi dan gaulkan sehingga rata. Tuangkan air sejuk sedikit demi sedikit dan uli sehingga adunan tersebut lembut dan licin.( Bila adunan saya terlalu lembut, saya tambah saja tepung sedikit atau terlalu keras saya tambah jer air sejuk). Apabila adunan tadi sudah sebati, masukkan marjerin dan uli sekali lagi sehingga rata. Saya menguli adunan tersebut selama 30 minit. (Mengikut Naz Rinn Chan...dia menggunakan mesin membuat roti)

Saya biarkan adunan sehingga naik sehingga dua kali ganda dari saiz asal. Saya tumbuk-tumbuk untuk membuang anginnya dan saya bulat-bulatkan sebesar bola pingpong. Kemudian susun diatas dulang yang sudah disapukan marjerin. Jangan susun terlalu rapat, berikan sedikit ruang untuk roti mengembang. Biarkan sebentar supaya roti membesar sedikit.

Sementara menunggu doh tadi kembang saya sediakan "Custard Cream".

Bahan-bahan :

1 cawan gula halus
1/2 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung kastad
2 biji telur kuning
1 biji telur
1 cawan susu segar

Campurkan semua bahan dan pukul supaya sebati. Tapis dan masak diatas api yang sederhana. Kacau supaya tidak berketul. Biarkan sehingga mendidih dan pekat. Biarkan sehingga sejuk.

Apabila adunan tadi telah kembang bolehlah diletakkan Custard Cream tadi diatasnya. Saya buat sepertimana yang selalu dibuat di Carrefour. Boleh buat cara tersendiri.

Kemudian bakar didalam oven pada suhu 180*C selama 20 minit. Apabila roti sudah berwarna keperangan, bolehlah diangkat. Semasa panas terus sapukan marjerin pada bahagian atasnya. Roti Kentang sedia untuk dimakan.

About Me

Saya berasal dari Kampung Padang 'A', Astana Raja, Kota Negeri Sembilan. Pendidikan awal saya di Sekolah Kebangsaan Astana Raja. Cik gu yang paling saya ingat semasa di sekolah ini ialah Cikgu Hasnah Peral, Cikgu Zaharah dan Ustaz Hussin. Ada sejarah yang penyebabkan saya ingat pada mereka sampai sekarang.

Cikgu Hasnah tu...cikgu pertama di sekolah tersebut manakala Cikgu Zaharah ni...saya selalu bawakan ulam pegaga untuk dia dan dia akan bagi saya duit 20 sen..Ustaz Hussin pula...masa dia tengah mengajar, saya keluar dari kelas untuk minum air. Kemudian dia tanya saya kenapa keluar...saya jawap "saya sakit perut ustaz"...terus dia suruh saya pergi klinik. Sebenarnya saya keluar minum...sedangkan masa tu.......dot dot dot....

Kawan-kawan yang saya ingat namanya sampai sekarang antaranya Hamidah Osman, Hamidah Yusof, Nora Shamsudin, Faridah Doya, Hanita Mohamad dan Nirwana...yang lain...Mohd Hanafiah...(sebab ayahnya cikgu di sekolah)...yang lain tu tak berapa pasti...dah lama sangat..

Secondary School

Keputusan Penilaian Darjah 5 saya tu baik....dapat masuk sekolah berasrama di Sikamat Seremban. Sekolah Menengah Agama Sheikh Haji Mohd Said....jiran kita Sekolah Tunku Kurshiah.

Masih segar dalam ingatan lagi...sekolah masa dulu-dulu. Masa nak periksa tu...Darjah 5, Kak Lang belikan 5 buah buku untuk saya ulangkaji (semua subjek). Oleh kerana hanya ada 5 buah buku sahaja...sampai saya hafal semua jawapan...bila tengok soalan dah tau jawapannya...tak tau dah berapa kali ulang buku tu....susahnya hidup masa itu.

Bila dapat masuk asrama...masalah juga...kenapa? Mak dan abah tak ada duit. Mujur juga ada padi dalam Ku'i (tempat simpan padi)....jemur semula padi tu dan jual untuk dapatkan duit yuran sekolah (tak ingat berapa jumlah) tapi ada juga masalah lagi...apa pulak? Macamana nak pergi ke sekolah tu...di Seremban. Mujur ada Allahyarham bang Kassim....dia ada kereta...jadi kami sewa kereta dia untuk ke Seremban (45 minit dari rumah pada masa sekarang). Sehari sebelum berangkat tu...mak jual ayam...tak ingat berapa ekor...nak buat tambang dan duit untuk belanja....susah betul ya...

Masa duduk asrama...abah tak boleh datang selalu sebab abah tak ada lesen motor. Alhamdulillah...pak cik Musa...Jaga di sekolah tu tinggal berhampiran dengan kampung kami...jadinya bolehlah mak kirimkan barang pada pak cik Musa. Selalu mak akan kirim ikan bilis goreng bercili dengan kacang tanah....bila ada jer barang mak kirim...pak cik akan panggil dari bawah...Milah ooo Milah...seronoknya bila pak cik panggil...dalam fikiran adalah makanan yang sedap sikit dari makanan asrama hari ni....

Banyak kenangan di sekolah ni...Pengetuanya Ust Haji Mohd Yusof...garang betul...Guru Maths (F3) Cikgu Mat Shah...terima kasih cikgu (duduk di Gedung Lalang, Serembn), Ust Zubaidah Sheikh Ahmad, Mrs Ang (selalu tumpang teacher bila nak ke Seremban)...Guru Sains saya sangat tegas Cikgu Normah (ingat lagi celak di mata cikgu tu)....cik gu Siti Hawa (kami dok kira perkataan "a" cikgu..)...manis sungguh masa tu...

Kenangan paling manis disini.....masyaAllah hanya Allah saja yang tahu....jeng..jeng...jeng ....(malu nak ceritalah) selain itu ...dapat kutu kepala dari kawan-kawan..nak tau siapa?....alamak, dia tu kaki gaduh lah...

Abang angkat saya Abdul Razak...dan adik angkat juga Abdul Razak...yang ingat dia ni orang Dusun Nyiur Seremban..entahlah...habis kat situ jer. Kawan-kawan perempuan.... mana dia orang ni..Zunairah, Zurainah, Khatijah Abu Bakar, Zubaidah Abu Bakar, Norazlina Sidek....ah ramai lagi. Masih berhubung lagi dengan Safiah Abdul Rahman...dan Hafizah ( senior ...lupa panggilannya saya hentam Along...rupanya dia Angah).

Periksa SRP...cemerlang. Seterusnya SPM...cemerlang lagi. Mesti rajin belajar...kita orang susah ( mesti masuk U ). Alhamdulillah...masa belajar disini..saya dapat biasiswa Rm48 sepenggal...banyak masa tu..Kena tambah rajinlah sebab dapat bantuan kerajaan..masa Tingkatan 5 dapat Rm120 sepenggal...banyaknya (masa tu).

Kolej Islam Kelang

Selepas kecemerlangan terbukti dalam SPM, saya ditawarkan tempat untuk belajar bersama kawan-kawan lain yang pandai. Kolej Islam Kelang adalah antara sekolah berasrama penuh bantuan kerajaan yang terbaik pada masa itu. Sesiapa yang belajar dari sekolah beraliran agama dan lulus cemerlang dalam SRP dan SPM akan ditawarkan tempat untuk belajar di situ. Bagi saya bila saya sudah belajar di KIK maka saya sudah menempah tempat untuk ke universiti. Saya sangat yakin tentang itu.

Semasa di KIK, saya belajar bersungguh-sungguh untuk lulus cemerlang dalam STPM. Sepanjang saya belajar di sana saya mendapat bantuan sepenuhnya dari kerajaan. Asrama saya di Kelang juga berhampiran dengan rumah kakak-kakak saya di Kuala Lumpur. Keadaan menjadi semakin mudah apabila mereka selalu melawat saya diasrama. Saya hanya menumpukan perhatian pada pelajaran saya saja. Alhamdulillah...kesemua lima matapelajaran yang saya ambil telah lulus dengan cemerlang.

Sukacita saya memberitahu bahawa usaha saya memang berbaloi. Ketika semua orang sudah tidur, saya masih lagi belajar. Sebelum semua kawan-kawan bangun dari tidur, saya sudah pun siap sedia untuk ke sekolah. Saya memang rajin belajar sebab saya nak masuk universiti. Pada masa itu tumpuan saya hanyalah pada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Allah yang Maha Mengetahui. Dia telah menentukan segala-galanya. Berkat usaha dan doa saya. Ibubapa saya juga senantiasa mendoakan kejayaan saya. Saya ditawarkan belajar di UIAM dalam jurusan Ekonomi untuk sessi 1986/90. Alhamdulillah....

Dunia